SHAH ALAM - Jemaah umrah yang berada di Tanah Suci Makkah digesa supaya peka dengan arahan keselamatan yang dikeluarkan Arab Saudi susulan amaran kecemasan mengenai 'potensi bahaya' dikeluarkan kerajaan negara itu.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, langkah berjaga-jaga itu penting bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Menurut beliau, meskipun situasi keselamatan di negara itu masih dalam keadaan baik, namun rakyat Malaysia yang sedang menunaikan umrah perlu mematuhi arahan pihak berkuasa.
"Berdasarkan maklumat semasa, keadaan di Tanah Suci masih baik dan terkawal. Situasi tidak seperti mana dilaporkan dan jemaah-jemaah umrah juga dapat menunaikan ibadah seperti biasa.
Sebelum ini, pertahanan udara Arab Saudi dilapor telah memintas dan memusnahkan sebuah dron yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi berhampiran Makkah.
Jurucakap pakatan itu, Turki al-Malki berkata, dron berkenaan dipintas kira-kira 6.50 petang waktu tempatan pada Selasa sebelum sempat memasuki ruang udara larangan dengan serpihannya jatuh di selatan bandar itu.
Mengulas lanjut, Razali berkata, tempahan untuk menunaikan umrah melalui agensi pelancongan semakin menunjukkan penurunan selepas tercetusnya konflik di Asia Barat.
Selain faktor konflik berkenaan, keadaan itu turut didorong oleh trend umrah Do It Yourself (DIY) atau sendiri kerana kos yang lebih jimat dan jadual lebih fleksibel.