Enggan beri mancis untuk nyalakan rokok, lelaki maut ditikam

Iklan
Kes didaftarkan mengikut peruntukan berkaitan pembunuhan dan cubaan membunuh di Balai Polis Keshav Puram. Foto: NDTV

NEW DELHI - Hanya kerana enggan memberikan mancis untuk menyalakan rokok, seorang lelaki berusia 30 tahun maut manakala rakannya cedera selepas diserang sekumpulan individu di barat laut Delhi, India.

Polis berkata, kejadian berlaku di hadapan sebuah kedai arak di kawasan Keshav Puram pada Selasa ketika mangsa, Bhawani dan Asha Ram, didatangi tiga individu yang meminta mancis untuk menyalakan rokok.

Iklan
Iklan

Kedua-duanya memberitahu mereka tidak mempunyai mancis sebelum berlaku pertengkaran mulut yang kemudian bertukar ganas.

Suspek didakwa menyerang kedua-dua mangsa menggunakan tumbukan dan pisau.

Iklan

Bhawani mengalami luka dalam di bahagian kiri belakang badan dan dikejarkan ke Hospital Deep Chand Bandhu, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba.

Asha Ram, 32, pula mengalami kecederaan tikaman di bahagian kiri bawah dada dan sedang menerima rawatan. Keadaannya menyebabkan dia belum dapat memberikan keterangan kepada polis.

Iklan

Polis kemudian menggunakan maklumat teknikal dan risikan tempatan untuk mengenal pasti individu yang dipercayai terbabit.

Suspek utama, Naresh Bahadur atau dikenali sebagai Nepali, 19, ditahan bersama Tarun, 19, dan seorang lagi suspek bawah umur.

Menurut polis, Naresh dipercayai menikam kedua-dua mangsa, manakala Tarun dan suspek bawah umur itu didakwa menyerang mereka menggunakan tumbukan.

Senjata dipercayai digunakan dalam kejadian turut berjaya dirampas.

Kes didaftarkan mengikut peruntukan berkaitan pembunuhan dan cubaan membunuh di Balai Polis Keshav Puram, manakala siasatan lanjut masih dijalankan. - Agensi