PELABUHAN KLANG - Sektor pencarian laut dalam operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dua lagi pemancing yang masih hilang di perairan One Fathom Bank diperluaskan meliputi kawasan seluas 203.85 batu nautika persegi di sempadan perairan Selangor dan Perak.
Bagi sektor udara pula, kawasan pencarian meliputi 408 batu nautika persegi di sekitar One Fathom Bank ketika operasi memasuki hari ketiga pada Rabu.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, peluasan sektor pencarian ke perairan Perak dilakukan susulan kebimbangan mangsa dihanyutkan arus ke kawasan berkenaan.
Menurutnya, satu mayat ditemukan kira-kira 14 batu nautika barat Kampung Sungai Apong, Selangor pada Rabu.
"Mayat berkenaan ditemukan dalam sektor pencarian yang diperluaskan ke perairan Perak susulan kebimbangan mangsa dihanyutkan arus ke kawasan berkenaan.
"Mayat itu dibawa oleh Bot Benteng 1206 dari Maritim Malaysia Perak untuk diserahkan kepada pihak polis bagi proses pengecaman oleh waris," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bot dinaiki tujuh pemancing termasuk tekong dipercayai terbalik selepas dilambung ombak setinggi kira-kira empat meter.
Susulan itu pada Isnin, Maritim Malaysia Selangor melancarkan SAR selepas menerima laporan rasmi berhubung kehilangan tujuh pemancing terbabit pada 3.35 pagi.
Bagaimanapun, empat daripadanya ditemukan selamat di perairan Sekinchan pada hari kedua operasi SAR, sebelum dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Banting.
Abdul Muhaimin berkata, Pangkalan Hadapan Carialamat (PHC) diaktifkan semula pada jam 7 pagi bagi mempergiatkan operasi membabitkan aset laut dan udara pelbagai agensi.
Katanya, operasi itu melibatkan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Sebuah Kapal Maritim (KM) NUSA dari Maritim Negeri Perak turut digerakkan bagi memperluaskan kawasan pencarian ke perairan Perak.
"Maritim Malaysia terus menyelaras operasi bersama agensi terlibat dengan mengoptimumkan keupayaan aset laut dan udara bagi memastikan usaha Carilamat dilaksanakan secara pantas, tersusun dan berkesan," katanya.
Beliau berkata, pencarian terhadap mangsa yang masih belum ditemui diteruskan dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Jelasnya, sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Maritim Malaysia Negeri Selangor di talian 013-660 6652 bagi membantu usaha pencarian dan menyelamat.