Integriti bukan sekadar slogan, perlu diterjemah melalui tindakan

Iklan
Program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 Peringkat SPRM diadakan di Ibu Pejabat SPRM, pada Selasa.

PUTRAJAYA - Integriti tidak boleh sekadar menjadi slogan atau perkataan pada poster, sebaliknya mesti diterjemahkan menerusi tindakan harian warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa melaksanakan tugas serta menegakkan keadilan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, nilai berkenaan perlu menjadi pegangan setiap warga SPRM dalam memastikan amanah yang diberikan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Iklan
Iklan

"Integriti tidak boleh sekadar menjadi slogan atau perkataan pada poster, sebaliknya mesti diterjemahkan menerusi tindakan harian warga SPRM semasa membuat keputusan, melaksanakan tugas, menjaga kerahsiaan, serta menegakkan keadilan tanpa rasa gentar atau pilih kasih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 Peringkat SPRM di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional, Datuk Idris Zaharudin serta pengarah-pengarah bahagian dan negeri SPRM.

Menurutnya, sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak seharusnya dilihat sekadar acara tahunan, sebaliknya perlu dihayati menerusi komitmen terhadap integriti dan amanah dalam usaha membanteras amalan rasuah.

Iklan

Katanya, bagi warga SPRM, kemerdekaan hakiki menuntut kebebasan daripada rasuah, salah guna kuasa dan budaya yang boleh merosakkan amanah demi memelihara kedaulatan serta kepercayaan rakyat terhadap negara.

"Perjuangan membanteras rasuah merupakan komponen penting dalam pembinaan negara bangsa, di mana nilai integriti mesti diterjemahkan secara nyata melalui tindakan harian warga SPRM.

"Kekuatan dan kredibiliti SPRM sebagai sebuah institusi bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan rakyat yang dibina menerusi konsistensi, ketelusan dan profesionalisme," katanya.

Dalam pada itu, Azmi menyeru warga SPRM menjadikan kepelbagaian latar belakang dalam organisasi sebagai kekuatan untuk bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Jadikan kepelbagaian latar belakang dalam organisasi ini sebagai sumber kekuatan untuk bekerjasama sebagai satu pasukan yang kukuh demi merealisasikan sebuah negara yang bersih daripada rasuah," katanya.

Pada program sama, Azmi turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Video Kreatif Bertemakan Perpaduan.

Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM muncul juara, diikuti Bahagian Perisikan SPRM di tempat kedua dan Bahagian Keselamatan di tempat ketiga.

Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai, sijil penghargaan dan hamper.

Peserta turut mengikuti sesi perkongsian ilmu oleh Ketua Unit Penyelidikan Khas Jabatan Peguam Negara, Tuah Yussof bertajuk Kepentingan Pengurusan Rekod dan Kedaulatan Negara serta persembahan koir kumpulan Ritma Vaganza dari Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat SPRM.