AMSTERDAM - Bekas Presiden Kosovo, Hashim Thaci dijatuhi hukuman penjara 25 tahun oleh sebuah mahkamah khas di The Hague atas kesalahan jenayah perang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mahkamah pada Rabu memutuskan bahawa Thaci bertanggungjawab terhadap 96 kes pembunuhan.
Beliau turut didakwa atas jenayah serius lain seperti penyeksaan dan layanan kejam.
Thaci, 58, sebelum ini menyifatkan dirinya sebagai"tidak bersalah sama sekali".
Beliau mendengar keputusan mahkamah pada Rabu tanpa menunjukkan sebarang reaksi.
Pendakwa raya sebelum ini memohon hukuman penjara 45 tahun terhadap Thaci atas jenayah yang dilakukan pada akhir 1990-an.
Hampir 300 saksi memberikan keterangan dalam perbicaraan itu, manakala 155 mangsa mengambil bahagian dalam prosiding berkenaan.
Menurut pihak pendakwaan, Thaci dan tiga defendan bersama merupakan sebahagian daripada kepimpinan Tentera Pembebasan Kosovo (KLA), yang didakwa melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.
Thaci berkhidmat sebagai Perdana Menteri, Menteri Luar dan Presiden Kosovo antara 2008 hingga 2020.
Beliau meletakkan jawatan untuk menghadapi perbicaraan di The Hague.
Keempat-empat defendan memegang jawatan kanan dalam KLA serta jawatan politik tinggi selepas perang.
KLA berjuang dari 1998 hingga 1999 untuk mendapatkan kemerdekaan Kosovo daripada Serbia, yang akhirnya dicapai dengan bantuan pakatan ketenteraan NATO.
Tribunal khas itu ditubuhkan pada 2015 dan dipindahkan ke The Hague atas faktor keselamatan. - Bernama-dpa