KEMELUT takhta Negeri Sembilan yang tercetus sejak April lalu memasuki fasa baharu apabila Barisan Exco Kerajaan Negeri pada 16 September mengumumkan penurunan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar, selain mengiktiraf Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai pengganti berkuat kuasa serta-merta.
Ikuti kronologi kemelut takhta Negeri Sembilan;
19 April 2026
Undang Yang Empat mengeluarkan Proklamasi di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) bagi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Pada tarikh sama, Proklamasi di bawah Perkara 11 dikeluarkan bagi pemilihan Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai pengganti.
20 April 2026
Menteri Besar ketika itu enggan menandatangani Proklamasi Perkara 10. DKU kemudian berhujah keengganan itu menyebabkan proklamasi berkenaan luput dan terbatal.
31 Julai 2026
DKU mengadakan persidangan dan kemudiannya memutuskan Proklamasi 19 April tidak sah, antaranya atas dakwaan terdapat isu status tiga daripada empat penandatangan serta proses di bawah Perkara 10 tidak dipatuhi sepenuhnya.
2 Ogos 2026
Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Tuanku Muhriz, yang ketika itu masih menjalankan fungsi sebagai Yang di-Pertuan Besar.
3 Ogos 2026
Undang Yang Empat mendakwa Ismail menandatangani Proklamasi Perkara 10 bertarikh 19 April bagi melengkapkan kehendak Perkara 10(2).
Ismail kemudian menyatakan tandatangan itu dibuat bertentangan dengan kehendaknya dan di bawah tekanan.
5 September 2026
Undang Yang Empat mengumumkan Proklamasi 19 April telah sempurna ditandatangani, dicop mohor dan dikuatkuasakan serta-merta. Mereka mengarahkan pentadbiran negeri mematuhinya.
6 September 2026
Ismail menyatakan Kerajaan Negeri Sembilan memberikan sokongan dan taat setia kepada Tuanku Muhriz.
9 September 2026
Ismail menegaskan tandatangan pada dokumen berkenaan dibuat di bawah tekanan, menyifatkannya tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan serta memaklumkan laporan polis dibuat.
14 September 2026
DKU menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar kerana, menurut Dewan itu, Proklamasi 19 April cacat dan tidak sah sejak awal. DKU turut menyatakan tiada pengganti diiktiraf.
15 September 2026
Ismail menegaskan Menteri Besar tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Beliau berkata kedudukan takhta perlu ditentukan berdasarkan UUTKNS 1959 dan kerangka perlembagaan serta undang-undang.
16 September 2026
Barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan keputusan kolektif mesyuarat 15 September, menyatakan Proklamasi Perkara 10 dan Perkara 11 telah disempurnakan.
Mereka mengumumkan penurunan takhta Tuanku Muhriz serta mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan baharu berkuat kuasa serta-merta.