KLANG - Polis mengesahkan mayat lelaki ditemui terapung di perairan Hutan Melintang, Perak pada Rabu merupakan salah seorang daripada tiga individu yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing di perairan One Fathom Bank, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Mohd Sharil Abd Rahman, 43, selepas proses pengecaman dilakukan waris.
Menurutnya, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 8.30 pagi selepas pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menerima maklumat daripada nelayan mengenai penemuan mayat lelaki terapung di perairan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Mayat dipercayai pemancing hilang ditemukan memakai jaket keselamatan, diikat pada tong
SAR pemancing hilang diperluas ke sempadan Selangor-Perak
"Hasil pengecaman oleh waris mengesahkan mayat tersebut adalah Mohd Sharil salah seorang daripada tiga mangsa yang masih hilang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bot dinaiki tujuh pemancing termasuk tekong yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank pada Ahad dipercayai terbalik selepas dilambung ombak setinggi kira-kira empat meter.
Empat daripada tujuh pemancing termasuk tekong yang dilaporkan hilang kemudian ditemukan selamat pada Selasa.
Mereka dikenal pasti sebagai Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd Rizal Mohamad Sadali, 45, Muhd Hamiszar Punirain, 45, dan tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47.
Dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala dua lagi dibawa ke Hospital Banting bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Bagaimanapun, dua lagi mangsa masih belum ditemukan iaitu Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37 dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49.
Ramsay berkata, mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Shah Alam bagi tindakan lanjut.
Ujar beliau, operasi SAR bagi mengesan dua lagi mangsa masih diteruskan secara bersepadu.
"Operasi ini membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi berkaitan.
"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.