Kereta rosak di lebuh raya: Wanita maut, dua parah dirempuh lori

Iklan
Seorang wanita maut manakala kakaknya cedera parah selepas kereta dinaiki mereka yang berhenti akibat mengalami kerosakan di Kilometer 284.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, dirempuh sebuah lori.

NILAI – Seorang wanita maut manakala kakaknya cedera parah selepas kereta dinaiki mereka yang berhenti akibat mengalami kerosakan di Kilometer 284.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, dirempuh sebuah lori, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, seorang penunggang motosikal yang berhenti untuk membantu mengalihkan kenderaan berkenaan turut mengalami kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi Kaunter Aduan Trafik Daerah Nilai pada jam 9.01 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Perodua Axia yang dipandu wanita berusia 32 tahun dalam perjalanan dari Melaka menghala ke Perak.

Iklan

Seorang lelaki berusia 22 tahun yang cuba membantu turut dilanggar hingga parah.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan dipercayai mengalami kerosakan sebelum berhenti di lorong kedua dari kiri.

Iklan

“Seorang lelaki berusia 22 tahun yang menunggang motosikal Honda RS 150 kemudian tiba di lokasi dan cuba membantu wanita terbabit mengalihkan kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tidak lama kemudian, sebuah lori Hino dipandu lelaki berusia 24 tahun tiba di lokasi namun dipercayai tidak menyedari kewujudan Perodua Axia dan penunggang motosikal berkenaan.

“Lori terbabit dipercayai merempuh bahagian belakang Perodua Axia sebelum melanggar penunggang motosikal yang sedang membantu.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi,” katanya.

Johari berkata, penumpang Perodua Axia yang juga kakak mangsa, berusia 39 tahun, turut mengalami kecederaan parah.

Katanya, penunggang motosikal terbabit turut cedera parah dan kedua-duanya menerima rawatan di Zon Merah Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.