KLANG -"Kami sekeluarga reda, harap dapat ditemukan walau hanya sekujur jasad.”
Itu luahan Hairul Nizam Abdul Rahman, 47, abang kepada Mohd Shahril Abd Rahman, 43, salah seorang daripada tiga pemancing yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing di perairan One Fathom Bank, Ahad lalu.
Menurut Hairul Nizam, dia dan adiknya masih berhubung seperti biasa kira-kira seminggu sebelum kejadian dan tiada sebarang perubahan pelik dikesan daripada percakapan Mohd Shahril.
"Dia ceria, tak ada masalah dan memang suka menolong orang," katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Semantan di sini pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bot dinaiki tujuh pemancing termasuk tekong yang dilaporkan hilang di perairan Klang pada Ahad dipercayai terbalik selepas dilambung ombak setinggi kira-kira empat meter.
Empat daripada tujuh pemancing termasuk seorang tekong yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank dekat sini kemudian ditemukan selamat pada Selasa.
Antara individu terbabit dikenal pasti sebagai Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd Rizal Mohamad Sadali, 45, Muhd Hamiszar Punirain, 45, dan tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47.
Dua mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala dua lagi dibawa ke Hospital Banting bagi pemeriksaan kesihatan.
Bagaimanapun, tiga lagi mangsa masih belum ditemukan iaitu Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, Mohd Shahril Abd Rahman, 43, dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49.
Hairul Nizam berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya adalah pada Jun lalu ketika kenderaannya mengalami kerosakan dan Mohd Shahril membantu menghantarnya ke bengkel di Jalan Kebun, Shah Alam.
Katanya, aktiviti memancing itu merupakan hobi rutin Mohd Shahril yang biasanya dilakukan setiap bulan atau dua bulan sekali mengikut kelapangan masa.
"Trip memancing memang hobinya dan perkara itu sudah biasa dilakukan, kalau ada masa yang sesuai, dia akan pergi memancing," katanya.
Menurutnya, Mohd Shahril yang tinggal di kawasan Bukit Naga bekerja dalam bidang penyelenggaraan.
Katanya, adiknya juga mempunyai tiga anak.
"Dia dengan kawan-kawan memang rapat dan mereka sudah kenal berpuluh tahun, setakat yang saya tahu, kali ini sahaja berlaku kejadian seperti ini.
"Kita sudah reda dan terima hakikat bahawa kita tidak boleh menolak kuasa ALLAH, apa juga keadaan, kami sekeluarga terima, harapan kami sekarang supaya dia dapat ditemukan, walaupun hanya sekujur jasad,” katanya.
Dalam pada itu, Hairul Nizam berkata, pihak keluarga dimaklumkan mengenai penemuan seorang mangsa di perairan Hutan Melintang, Perak, namun identiti mangsa masih belum dapat dipastikan.
"Kita dimaklumkan polis seorang mangsa sudah ditemukan, tetapi belum dipastikan siapa antara mereka.
"Ini sudah masuk hari ketiga, kalau selama itu belum ditemukan, kami serahkan kepada kuasa ALLAH dan terus berharap," katanya.