SAR pemancing hilang diperluas ke sempadan Selangor-Perak

Iklan
Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Leftenan Mohd Syafiq Sazali.

KLANG - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing yang masih hilang memasuki hari ketiga dengan tumpuan pencarian diperluaskan ke kawasan sempadan Selangor dan Perak pada Rabu.

Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Leftenan Mohd Syafiq Sazali berkata, pencarian dilakukan berdasarkan simulasi yang dijalankan menggunakan sistem Search and Rescue Operation (SAROP).

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi hari ketiga turut mendapat bantuan aset Maritim Malaysia Perak berikutan kemungkinan mangsa dihanyutkan ke perairan negeri berkenaan.

"Untuk operasi pada hari ini, pencarian lebih menjurus ke kawasan sempadan Selangor dan Perak berdasarkan simulasi yang kita jalankan melalui sistem SAROP.

Iklan

"Kita menggunakan sebuah pesawat udara Bombardier milik Maritim Malaysia untuk pencarian dari udara," katanya.

Beliau berkata, sebuah kapal Maritim Malaysia Negeri Perak turut digerakkan selain dua bot iaitu RH-16 milik Pasukan Polis Marin dan Pengawal 25 milik Maritim Malaysia Selangor.

Iklan

Katanya, keluasan pencarian di sektor laut adalah 203 batu nautika persegi, manakala sektor udara meliputi kawasan seluas 4,008 batu nautika persegi.

"Untuk hari ketiga, Maritim Malaysia Perak turut terlibat berdasarkan simulasi yang menunjukkan ada kemungkinan mangsa hanyut hingga ke negeri Perak.

"Seperti yang kita terima pagi tadi, sebuah bot nelayan telah menjumpai seorang mangsa di negeri Perak, kira-kira 11 batu nautika dari Bagan Sungai Belukang," katanya.

Mohd Syafiq berkata, identiti mangsa yang ditemukan itu masih belum dapat disahkan dan pihaknya akan berkoordinasi dengan polis bagi proses pengecaman oleh keluarga.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi pencarian sebelum ini turut melibatkan wilayah perairan Indonesia berikutan kedudukan One Fathom Bank yang berhampiran sempadan negara berkenaan.

"Pada hari pertama dan kedua, pencarian kita memang termasuk wilayah perairan Indonesia dan kita turut berkolaborasi dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia untuk membantu pencarian," katanya.

Beliau berkata, setakat ini dua lagi mangsa masih belum ditemukan dan operasi pencarian diteruskan bagi mengesan mereka.

"Jadi, kita harap untuk pencarian kali ini, kita berjaya mencari ketiga-tiga mangsa," katanya.