KLANG - [DIKEMAS KINI] Mayat dipercayai salah seorang daripada tiga pemancing yang masih hilang dalam insiden bot terbalik ditemukan di perairan Perak pada Rabu iaitu hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Rahimi Zainol berkata, mayat berkenaan ditemukan kira-kira jam 7.30 pagi oleh sebuah bot nelayan di kawasan Hutan Melintang, Perak.
Menurutnya, lelaki berkenaan ditemukan dalam keadaan memakai jaket keselamatan dan diikat pada sebuah tong.
"Proses pengecaman sedang dilakukan dan mangsa dalam perjalanan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika ditemui media pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan empat mangsa yang ditemukan selamat dikenal pasti sebagai Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd Rizal Mohamad Sadali, 45, Muhd Hamiszar Punirain, 45, dan tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47.
Dua mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala dua lagi dibawa ke Hospital Banting bagi pemeriksaan kesihatan.
Bagaimanapun, tiga lagi mangsa masih belum ditemukan, iaitu Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, Mohd Shahril Abd Rahman, 43 dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada mangsa yang terselamat, ketiga-tiga mangsa yang masih hilang dipercayai telah diikat pada tong secara berasingan serta memakai jaket keselamatan.
"Menurut penceritaan mangsa yang selamat, mereka bertujuh telah terbalik dan pada awalnya berpegangan tangan serta membentuk satu kumpulan.
"Bagaimanapun, apabila mereka tidak tahan dan kehabisan air akibat dehidrasi, seorang demi seorang terpaksa dilepaskan daripada kumpulan itu," katanya.
Mohd Rahimi berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga melibatkan empat agensi dengan kekuatan 47 anggota.
Katanya, aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang digunakan ialah bot Pasukan Polis Marin dan bot bagi operasi di pesisir pantai.
"Operasi hari ini bermula jam 7 pagi hingga 7 malam dan kawasan pencarian masih dikekalkan buat masa ini.
"Bagaimanapun, ada kemungkinan kawasan pencarian akan diperluaskan pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata, empat mangsa yang terselamat kini menerima rawatan di Hospital Banting dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.