KOTA KINABALU - Malaysia tidak memerlukan perjanjian baharu atau 'new deal' dalam menentukan hubungan antara Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak kerana Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu sendiri terus hidup serta kekal mengikat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, terma yang terkandung dalam MA63 sendiri menunjukkan perjanjian itu tidak ternoktah selepas pembentukan Malaysia dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan.
"Ini kerana hakikatnya terma-terma perjanjian secara tersurat menzahirkan MA63 itu tidak akan ternoktah sebaik tergubalnya Perlembagaan Persekutuan, dan MA63 itu terus hidup.
"Komitmen dan tanggungjawab yang digariskan itu kekal relevan selain mengikat dulu, kini serta selamanya," katanya menerusi kenyataan sempena Hari Malaysia pada Rabu.
Menurut Armizan, sambutan Hari Malaysia tahun ini mempunyai keistimewaan tersendiri apabila usia pembentukan Persekutuan Malaysia yang ditubuhkan pada 1963 genap 63 tahun atau '63/63'.
Katanya, sambutan berkenaan diharap dapat membawa kefahaman dan penerimaan lebih meluas dalam kalangan rakyat terhadap keseluruhan sejarah pembentukan Malaysia.
"Tahun ini, bukan sekadar keistimewaan angka 63/63, adalah diharapkan nilai dan makna Sambutan Hari Malaysia datang bersama kefahaman dan penerimaan yang lebih meluas tentang setiap episod dan lipatan sejarah pembentukan tanah air tercinta.
"Kesedaran tentang sejarah kemerdekaan negara bukan sekadar memerlukan kepada kefahaman terhadap Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, kontrak sosial antara tiga kaum utama dan kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, malah menuntut penerimaan sepenuhnya terhadap sijil lahir Persekutuan Malaysia itu sendiri, iaitu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu turut berkata, sempena 63 tahun pembentukan Malaysia, rakyat juga perlu memahami kewujudan Artikel VIII MA63 yang antara lain menetapkan tanggungjawab pihak-pihak terlibat untuk mengambil tindakan perundangan, eksekutif atau tindakan lain bagi melaksanakan jaminan, aku janji dan syor tertentu dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Menurutnya, peruntukan itu merupakan penegasan terhadap komitmen dan tanggungjawab semua pihak yang bersetuju memeterai perjanjian bagi membentuk Persekutuan Malaysia.
Dalam pada itu, Armizan berkata, kedudukan Hari Malaysia dalam takwim rasmi negara juga melalui perjalanan panjang apabila 16 September sebelum ini tidak diberikan tumpuan seperti sambutan 31 Ogos.
"Selama lebih 40 tahun sejak ditubuhkan sebelum ini, tarikh 16 September tidak pernah diangkat sebagai detik keramat nasional. Setiap tahun tumpuan hanyalah kepada 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan, atau disebut juga sebagai Hari Kemerdekaan.
"Bilamana kali pertama dalam sejarah tanah air sebuah pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang dibentuk pasca pilihan raya umum 2008 tidak mendapat majoriti dua pertiga, bermula angin perubahan kepada landskap politik nasional," katanya.
Beliau berkata, perubahan landskap politik itu turut membawa kepada kesedaran untuk memberikan perhatian lebih besar terhadap aspirasi Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan.
Katanya, walaupun suara serta cadangan awal daripada pihak tertentu diketepikan, Kerajaan Persekutuan akhirnya bersetuju menjadikan Hari Malaysia sebagai sambutan rasmi nasional bermula pada 2010.
Armizan berharap penghayatan terhadap Hari Malaysia dan MA63 akan terus memperkukuhkan negara serta memastikan Malaysia kekal sebagai tanah air yang makmur dan selamat untuk seluruh rakyatnya.