Pemain 16 tahun balas kepercayaan Arteta

Iklan
Dowman (kanan) meledak dua gol ketika membantu Arsenal menewaskan Ipswich 4-2 dalam pusingan ketiga Piala Liga pada Selasa. Foto: AFP.

KEPERCAYAAN Mikel Arteta terhadap Max Dowman akhirnya terbayar apabila pemain muda Arsenal itu mencuri tumpuan menerusi aksi cemerlang ketika membantu The Gunners menewaskan Ipswich 4-2 dalam pusingan ketiga Piala Liga pada Selasa.

Baru berusia 16 tahun, Dowman bukan sekadar diberikan peluang beraksi, malah tampil sebagai watak penting apabila meledak dua gol dan mencipta satu bantuan gol di Portman Road.

Iklan
Iklan

Aksi tersebut mengukuhkan lagi potensi besar pemain kelahiran England itu yang sebelum ini mendapat perhatian selepas diberi peluang beraksi 13 kali musim lalu, termasuk muncul sebagai penjaring termuda dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika menentang Everton pada Mac.

Arteta juga pernah menyamakan gaya permainan Dowman dengan Lionel Messi, namun pengendali dari Sepanyol itu tidak mahu perkembangan pemain terbabit dipaksa terlalu pantas.

Iklan

Malah, Dowman hanya menjadi pemain simpanan dalam beberapa perlawanan Arsenal musim ini sebelum diberi peluang menentang Ipswich, selepas Arteta menegaskan dia perlu menunggu dan merebut minit permainan seperti pemain lain.

"Dia baru berusia 16 tahun dan perkara seperti ini jarang berlaku dalam EPL. Kami perlu memastikan bakatnya berkembang dalam persekitaran yang betul serta menjaganya dengan sebaik mungkin," kata Arteta.

Iklan

Kali terakhir Dowman beraksi ketika Arsenal menentang Crystal Palace pada aksi terakhir musim lalu, ketika kelab London itu sudah mengesahkan kejuaraan EPL.

Selepas musim berakhir, tumpuannya beralih kepada peperiksaan GCSE sebelum kembali bersama skuad utama dan kini menunjukkan bahawa dia bersedia merebut tempat dalam pasukan senior.

Arteta bagaimanapun sedar perjalanan Dowman untuk menjadi tonggak Arsenal masih panjang, apatah lagi sejarah bola sepak menyaksikan ramai pemain muda gagal meneruskan perkembangan selepas mencuri perhatian pada usia awal.

Namun, persembahan di Portman Road memberikan satu lagi petunjuk bahawa Dowman memiliki keupayaan untuk bersaing dalam persekitaran kompetitif di peringkat tertinggi.

"Pergerakannya sangat sukar dibaca. Dia boleh pergi ke mana-mana arah, sangat lancar dan memang menyeronokkan untuk ditonton," katanya.

Kemenangan itu turut menyaksikan Arteta melakukan banyak perubahan terhadap kesebelasan utama, namun pemain yang diturunkan tetap mempamerkan tahap komitmen yang diharapkan.

"Itulah yang kami mahukan daripada pasukan, tidak kira pertandingan apa yang kami sertai, kami mahu melihat mentaliti, sikap dan keinginan yang sama," katanya.

Arsenal melakar rekod bersih apabila memenangi kesemua enam perlawanan musim ini dalam EPL, Liga Juara-Juara dan Piala Liga.

Skuad kendalian Arteta akan kembali memberi tumpuan kepada EPL apabila bertemu Brighton pada Sabtu, sebelum saingan antarabangsa bermula.