FAM perlu dengar suara ‘pemain industri’ - Faliq

Iklan
FAM perlu memahami dengan lebih dekat realiti operasi kelab merangkumi kewangan, komersial, infrastruktur, pembangunan pemain dan pengurusan penyokong. Gambar kecil: Faliq

PENGALAMAN mengurus kelab profesional mendorong calon kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Faliq Firdaus mahu suara ‘pemain industri’ diberi ruang lebih besar dalam menentukan hala tuju bola sepak negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC (NSFC) itu menjadikan kelestarian kelab, tadbir urus dan profesionalisme sebagai antara agenda utama yang mahu dibawa menjelang Kongres Pemilihan Luar Biasa FAM, Khamis ini.

Iklan
Iklan

Menurut Faliq, masa depan bola sepak Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada budaya perbelanjaan jangka pendek, pemilik, kerajaan atau suntikan dana tahunan, sebaliknya kelab perlu mempunyai asas kewangan kukuh menerusi sumber pendapatan baharu dan perancangan jangka panjang.

“Kita perlu membina ekosistem kelab yang lebih kukuh dan mampan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, kedudukan kelab profesional sebagai pihak yang menanggung sebahagian besar risiko kewangan dan operasi perlu diambil kira FAM ketika menggubal dasar, terutama yang memberi kesan secara langsung kepada kelangsungan kelab.

“Sebarang dasar yang memberi kesan kepada kelab profesional perlu melalui konsultasi yang lebih tersusun kerana kelab menanggung sebahagian besar risiko kewangan dan operasi bola sepak profesional,” katanya.

Iklan

Dalam masa sama, Faliq mahu FAM mengubah pendekatan pentadbiran daripada reaktif kepada lebih responsif dengan mengenal pasti masalah lebih awal, selain memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan perancangan, data dan kepentingan jangka panjang bola sepak negara.

Katanya, komunikasi bersama semua pemegang taruh juga perlu diperkemaskan bagi membolehkan badan induk itu bertindak lebih proaktif terhadap isu yang dihadapi industri.

“FAM perlu lebih proaktif dalam mengenal pasti masalah, berkomunikasi dengan pemegang taruh dan membuat keputusan berdasarkan perancangan, data serta kepentingan jangka panjang bola sepak negara.

“Kita perlu membina pentadbiran yang responsif, bukan reaktif,” katanya.

Faliq turut menekankan kepentingan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti bagi mengembalikan keyakinan kelab, penyokong serta industri terhadap pengurusan bola sepak negara.

Menurutnya, setiap keputusan penting perlu disokong alasan yang jelas, proses konsisten dan tahap akauntabiliti tinggi supaya semua pihak memahami asas keputusan yang dibuat.

“Keputusan penting dalam bola sepak perlu mempunyai alasan yang jelas, proses yang konsisten dan tahap akauntabiliti yang tinggi supaya keyakinan kelab, penyokong dan industri dapat dipulihkan,” katanya.

Berbekalkan pengalaman di peringkat pengurusan tertinggi kelab Liga Super, Faliq melihat FAM perlu memahami dengan lebih dekat realiti operasi kelab merangkumi kewangan, komersial, infrastruktur, pembangunan pemain dan pengurusan penyokong.

Beliau mahu badan induk itu turut membantu kelab mencari sumber pendapatan baharu, memperkukuh aspek komersial, membangunkan infrastruktur serta fasiliti dan meningkatkan hubungan dengan penyokong.

“FAM perlu membantu kelab membangunkan sumber pendapatan baharu, infrastruktur, pembangunan pemain, komersial, penyokong dan fasiliti.

“Matlamatnya adalah supaya kelab tidak hanya bergantung kepada pemilik, kerajaan atau suntikan dana tahunan,” katanya.

Faliq berharap perspektif daripada pengurusan kelab dapat dibawa ke meja Exco FAM sekiranya mendapat kepercayaan perwakilan pada pemilihan Khamis ini, sekali gus memberi lebih ruang kepada suara kelab dalam menentukan masa depan bola sepak Malaysia.