Bento Ayam Masak 3 Rasa buat warga IPD Timur Laut sempena Hari Malaysia

Iklan
Mohd Jazri (tiga dari kanan) dan Mi-Chelle(tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama Swee Sake (tengah) dan sebahagian anggota polis IPDTL.

GEORGE TOWN - Sebanyak 100 kotak hidangan bento Ayam Masak 3 Rasa disediakan khas buat warga polis sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat dan pengorbanan mereka menjaga keselamatan masyarakat sempena sambutan Hari Malaysia.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu hasil kerjasama pelajar Seni Kulinari Kolej SEGi Pulau Pinang bersama Mahsuri Dagang Sdn Bhd yang menyediakan hidangan berkenaan untuk anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) pada Selasa.

Iklan
Iklan

Hidangan tersebut disediakan sendiri oleh pelajar kulinari Kolej SEGi Pulau Pinang menggunakan bahan-bahan segar sebelum dimasak dengan Sos 3 Rasa Mahsuri, iaitu antara produk keluaran syarikat berkenaan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna.

Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, inisiatif berkenaan merupakan cara pihaknya menzahirkan penghargaan kepada anggota polis yang sentiasa bersedia memberikan khidmat kepada masyarakat.

Iklan

“Negara kita secara keseluruhannya kekal aman dan selamat hasil komitmen mereka dalam menjalankan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Makanan kepada Warga IPDTL di sini pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake dan beberapa anggota polis IPD Timur Laut.

Iklan

Mohd Jazri (kiri) menyerahkan satu unit bento kepada Swee Sake sebagai gimik penyerahan makanan kepada IPDTL sambil disaksikan Mi-Chelle.

Menurut Mohd Jazri, sebagai sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Malaysia, sumbangan berkenaan menjadi salah satu cara kecil pihaknya menunjukkan penghargaan dan terima kasih kepada anggota polis.

“Ini merupakan cara kecil kami untuk menunjukkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada anggota polis atas segala khidmat mereka kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Kolej SEGi Pulau Pinang, Dr Leong Mi-Chelle berkata, program tersebut merupakan kerjasama CSR kali kedua antara pihak kolej berkenaan dengan Mahsuri Dagang.

“Ini merupakan kali kedua Kolej SEGi Pulau Pinang bekerjasama dengan Mahsuri Dagang dalam program CSR.

“Pada tahun lalu, kami telah menjalankan program yang sama dengan menyediakan hidangan bento kepada golongan yang memerlukan di sekitar Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, bagi program kali ini, pelajar kulinari SEGi College Penang menyediakan menu Ayam Masak 3 Rasa dengan penuh kasih sayang menggunakan bahan-bahan segar.

“Kami berharap hidangan ini dapat dinikmati oleh para penerima dan pada masa sama memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada para pelajar kami.

“Kami sedar bahawa tugas anggota polis bukan mudah. Ia memerlukan komitmen, keberanian, disiplin dan pengorbanan termasuk bertugas pada waktu kebanyakan daripada kita sedang berehat atau bersama keluarga.

“Oleh itu, walaupun sumbangan yang kami bawa pada hari ini mungkin kecil, kami berharap ia dapat menjadi tanda penghargaan dan terima kasih daripada kami atas segala khidmat yang diberikan kepada masyarakat,” katanya.

Mohd Jazri (kanan) berbual bersama Swee Sake (tengah) dan Mi-Chelle pada Majlis Penyerahan Makanan Kepada Warga IPDTL sempena Hari Malaysia.

Dalam pada itu, Swee Sake turut merakamkan penghargaan kepada Mahsuri Dagang dan Kolej SEGi Pulau Pinang atas sumbangan serta keprihatinan yang diberikan kepada anggota polis sempena sambutan Hari Malaysia.

“Bagi pihak seluruh warga polis di IPD Timur Laut, kami amat berterima kasih atas keprihatinan dan tanda penghargaan ini.

“Kami berharap usaha seperti ini dapat memberi semangat dan motivasi kepada anggota kami untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menghargai inisiatif syarikat korporat tempatan seperti Mahsuri Dagang yang bersama-sama Kolej SEGi Pulau Pinang mengambil kesempatan sempena Hari Malaysia untuk menunjukkan penghargaan kepada warga polis.

Program tersebut bukan sahaja menjadi tanda penghargaan kepada anggota keselamatan negara, malah memberi peluang kepada pelajar kulinari mengaplikasikan kemahiran dalam suasana sebenar.

Pada masa sama, inisiatif berkenaan turut memupuk nilai kemasyarakatan, kerjasama dan semangat untuk memberi kembali kepada komuniti dalam kalangan pelajar.

Mahsuri Dagang merupakan jenama tempatan Malaysia yang menghasilkan pelbagai produk sos mudah guna dan kicap yang diperakui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), selain komited menyediakan produk berkualiti yang memenuhi cita rasa pengguna Malaysia.