KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan Angkatan Siber menjelang 2030 bagi menerajui aspek perancangan, penyelarasan, persediaan transformasi organisasi serta pembangunan keupayaan dalam domain siber.
Penubuhan cabang keempat ATM selepas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) itu mencerminkan keperluan memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara seiring perkembangan ancaman dalam ruang siber dan elektromagnetik yang semakin kompleks.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, ruang siber dan elektromagnetik kini merupakan medan persaingan serta pertempuran yang semakin mendominasi landskap keselamatan moden.
“Selari dengan hasrat tersebut, pembangunan kepakaran dalam bidang Aktiviti Siber dan Elektromagnetik (CEMA) turut dilaksanakan secara berterusan.
“Keupayaan siber, peperangan elektronik dan operasi pengurusan spektrum telah pun diaplikasikan secara praktikal dalam Eksesais Camar Kilat Siri 2/26 bagi menghasilkan kesan operasi yang nyata dalam kerangka CEMA.
“Komitmen ini turut diperkukuh menerusi aspek modal insan di mana seramai 60 pegawai dan 17 anggota lain-lain pangkat TUDM telah mengikuti kursus berkaitan CEMA sehingga Julai 2026,” katanya dalam sesi temu bual sempena Hari ATM Ke-93 di Wisma Pertahanan di sini baru-baru ini.
Tambahnya, pembangunan keupayaan CEMA sedang dilaksanakan termasuk operasi siber, peperangan elektronik dan pengurusan spektrum.
Kata beliau, penubuhan Angkatan Siber turut menjadi nadi penting bagi memperkasakan penguasaan secara bersepadu di dalam domain ini.
“Secara keseluruhannya, bagi tempoh 2026 hingga 2030, fokus strategik akan diberikan kepada pembangunan kesiagaan yang lebih menyeluruh, merangkumi kesiagaan operasi, pembuatan keputusan, teknologi dan sustainment (penyelenggaraan).
“Ini termasuklah rancangan pembangunan Satelit Komunikasi ATM yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2031 bagi memastikan setiap keupayaan yang dibangunkan terus diintegrasikan ke dalam konsep operasi agar setiap pelaburan benar-benar menterjemah kepada kesan operasi yang nyata,” ujarnya.
Pada 24 Mac tahun lalu, dalam sesi soal jawab di Dewan Negara, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, angkatan itu akan dilengkapi dengan kepakaran teknikal tinggi dalam bidang seperti Perisikan Ancaman Siber, Tindak Balas Insiden, Forensik Digital serta Pertahanan Siber Aktif.
Kata Mohamed Khaled, keupayaan ini membolehkan ATM bukan sahaja bertindak balas terhadap serangan siber tetapi juga menghalang dan meneutralkan ancaman sebelum ia memberi kesan terhadap operasi ketenteraan dan keselamatan negara.
Selain itu, ketika ditanya hala tuju pembinaan Angkatan Masa Hadapan, Malek berkata, ia didukung sepenuhnya menerusi Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026-2030, seiring dengan komitmen kerajaan ke arah mencapai peruntukan pertahanan sebanyak 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030.
Katanya, dalam aspek perancangan strategik, kajian semula separuh penggal Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0, dokumen strategik ATM, rancangan blueprint serta Rancangan Malaysia Ke-13 terus diperkasa bagi memastikan pembangunan keupayaan ATM dilaksanakan secara terancang, berfasa, dan berasaskan keperluan strategik.
Strategi 5D ATM
“Penjajaran doktrin dan reka bentuk angkatan turut diperkemas bagi memastikan setiap keupayaan saling melengkapi dan mampu mendokong keperluan operasi semasa serta masa hadapan.
“Di samping itu, bagi memastikan kelangsungan dan peningkatan daya tahan operasi TUDM, perancangan perolehan di bawah RMK-13 turut merangkumi inisiatif naik taraf midlife upgrade bagi 12 buah helikopter EC725, perolehan dua bateri Sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana serta 12 helikopter AW149 melalui kaedah kerjasama awam-swasta,” ujarnya.
Tambah beliau, ATM menterjemahkan Strategi 5D dengan dalam mengangkat pertahanan negara sekali gus mencerminkan keupayaan angkatan dalam menghadapi persekitaran keselamatan yang semakin kompleks.
Katanya, 5D yang pertama ialah Diplomasi iaitu membina ruang strategik dan mengurangkan risiko konflik, kedua Detect dengan memastikan ATM sentiasa mengetahui dan memahami ancaman.
“Ketiga ialah Deter. Ia bermaksud mengenakan kos dan menghalang ancaman daripada berkembang.
“Keempat, Deny iaitu menafikan kebebasan musuh mencapai objektifnya serta kelima ialah Defeat bagi memastikan keupayaan menewaskan ancaman jika konflik tidak dapat dielakkan,” ujarnya.
Kata beliau, pembangunan ATM dipacu melalui semangat ‘A.T.M’ (Akhlak Teras, Tatakelola Tuntas dan Martabat Tempur) serta didasari oleh Tujuh Tonggak Perintah Ulung yang kini sedang rancak mempamerkan hasil nyata.
Malek berkata, dalam perancangan pembangunan keupayaan, ATM terus komited memperkukuh inventori dan keupayaan melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan secara menyeluruh.
“Bagi TDM, pembangunan keupayaan terus diperkasa secara berfokus bagi memantapkan mobiliti, perlindungan, daya tembak, pertahanan udara dan keupayaan operasi taktikal.
“Usaha ini merangkumi pemodenan keupayaan kenderaan tempur dan mobiliti, sistem mortar bermotor, sistem pertahanan udara jarak pendek dan sangat pendek (SHORAD & VSHORAD) serta kenderaan berperisai.
“Pembangunan ini turut disokong oleh keupayaan pengawasan darat serta pemerkasaan sokongan operasi khas, airborne, antikereta kebal, artileri, roket, dan logistik bagi meningkatkan kesediaan, kelenturan, serta daya tindak angkatan di medan,” ujarnya.
Tambahnya, bagi TLDM pula, pembangunan keupayaan maritim diteruskan secara bersepadu melalui pemodenan armada, peningkatan keupayaan operasi litoral dan tindak balas pantas serta pemerkasaan keupayaan sokongan operasi.
Jelasnya, pembangunan Kapal Tempur Pesisir dan Kapal Misi Pesisir Batch 2 akan memperkukuh keupayaan armada dalam melaksanakan operasi maritim, manakala perolehan Bot Pemintas Pantas serta perancangan Kapal Sokongan Pelbagai Peranan akan meningkatkan keupayaan tindak balas dan kesinambungan operasi.
“Selaras dengan kepentingan strategik negara di perairan timur, infrastruktur turut diperkukuh melalui perancangan pembangunan pangkalan TLDM di Sarawak bagi meningkatkan kehadiran dan kesiagaan operasi di wilayah tersebut,” ujarnya.
Katanya lagi, untuk TUDM, pembangunan keupayaan dan infrastruktur turut dihalakan ke arah memperkukuh kesiagaan operasi di wilayah timur.
“Projek Bare Base TUDM di Bintulu menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dengan status fizikal mencapai 40.37 peratus dan dijadualkan siap pada 3 Mei 2028.
“Pembangunan keupayaan udara terus difokuskan kepada pembentukan keupayaan udara yang lebih bersepadu dan berdaya cegah menerusi perolehan pesawat FA-50M, Sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana, rangkaian Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh GM400 Alpha serta Sistem Radar Pengawasan Lapangan Terbang.
“Selain itu, dron dengan sistem tanpa pemandu (UAS) Anka yang telah tiba di Labuan dijangka mencapai Keupayaan Operasi Awal pada Oktober 2026,” ujarnya.