Hakim Danish bawa momentum ke Austria

Iklan
Hakim Danish Foto: ZK Racing

 

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bertekad mengekalkan momentum kebangkitan Grand Prix (GP) San Marino untuk memburu keputusan lebih cemerlang pada pusingan seterusnya di GP Austria hujung minggu ini.

Iklan
Iklan

 

Hadir dengan motivasi tinggi ke Litar Red Bull Ring, pelumba berusia 19 tahun itu mahu memastikan kesilapan yang membawa kepada penalti grid di Misano tidak berulang, bagi mengintai peluang memulakan perlumbaan dari kelompok hadapan.

Iklan

 

Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu sebelum ini membuktikan keupayaannya apabila berjaya memintas 13 pelumba selepas bermula dari petak ke-25 untuk menamatkan saingan di tempat ke-12.

Iklan

 

Menjelang aksi di Red Bull Ring yang terkenal dengan laluan lurus panjang dan zon selekoh teknikal, anak didik Zulfahmi Khairuddin itu kini menumpukan sepenuh perhatian untuk mendapatkan pelarasan jentera terbaik seawal sesi latihan bebas bagi melayakkan diri secara automatik ke sesi Kelayakan 2 (Q2).

 

“Saya rasa pengalaman beraksi di Red Bull Ring sebelum ini banyak membantu kerana saya sudah mempunyai gambaran mengenai karakter litar dan perkara yang perlu diberi perhatian.

 

“Bagaimanapun, situasi kali ini berbeza kerana kami beraksi dalam Kejuaraan Dunia Moto3 dan perlumbaan juga sengit. Jadi, saya perlu menyesuaikan diri dengan jentera serta keadaan perlumbaan semasa.

 

“Selepas perlumbaan di Misano, saya rasa lebih yakin dan keserasian dengan jentera juga semakin baik. Jadi, saya mahu membawa momentum itu ke Austria dan cuba mendapatkan persediaan lebih baik sejak sesi latihan bebas.

 

“Fokus utama saya adalah untuk mengharungi setiap sesi dengan konsisten, mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan kedudukan grid dan mendapatkan kedudukan permulaan yang baik.

 

“Saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam perlumbaan nanti dan mengutip sebanyak mungkin mata untuk membantu saya memperbaiki kedudukan dalam kejuaraan,” katanya.

 

Sementara itu, Zulfahmi yang juga pengurus SIC Racing berkata, pasukan akan terus memberikan tumpuan terhadap persediaan jentera selain memastikan setiap sesi latihan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membantu Hakim Danish memperoleh keyakinan dan prestasi terbaik sepanjang hujung minggu perlumbaan.

 

“Untuk perlumbaan di Austria minggu ini, seperti biasa kami berharap Danish dapat memperoleh 'feeling' yang baik sejak sesi latihan bebas pertama (FP1).

 

“Jika dilihat pada perlumbaan di San Marino, dia mengambil sedikit masa untuk mendapatkan 'feeling' di litar. Jadi, kami berharap di Austria kali ini dia dapat membina rentak dan mendapatkan ritma yang baik seawal mungkin.

 

“Ini penting kerana kami mahu Danish berada dalam kelompok kompetitif sejak FP1. Jika dia dapat membina rentak yang baik dari awal, ia akan membantu persediaannya untuk sesi kelayakan dan perlumbaan.

 

“Yang penting, Danish perlu kekal fokus, mengurangkan kesilapan dan memanfaatkan setiap peluang yang ada. Kami percaya dia mempunyai potensi untuk bersaing lebih dekat dengan kelompok hadapan dan sasaran kami adalah untuk membawa pulang sebanyak mungkin mata dari Austria,” katanya.