Majikan boleh nikmati diskaun FCLB hingga 80 peratus di Festival Mega iLINDUNGu

Iklan
Pegawai PERKESO membantu orang ramai mendapatkan maklumat dan menyemak kelayakan berkaitan perlindungan keselamatan sosial di reruai Lindung Pekerja.

Pegawai PERKESO membantu orang ramai mendapatkan maklumat dan menyemak kelayakan berkaitan perlindungan keselamatan sosial di reruai Lindung Pekerja.

SHAH ALAM - Majikan berpeluang mendapatkan diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) menerusi Festival Mega iLINDUNGu anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Iklan
Iklan

Selain itu, khusus untuk pencarum yang opt-out LINDUNG 24 Jam, PERKESO juga menyediakan kaunter khas untuk opt-in semula ke dalam skim berkenaan.

Festival yang berlangsung di Strand Mall, Kota Damansara dari 18 hingga 20 September ini menyasarkan kehadiran sehingga 60,000 pengunjung.

Iklan

Dibuka bermula 10 pagi hingga 10 malam, festival itu menawarkan  pelbagai program interaktif, khidmat perlindungan sosial, aktiviti kekeluargaan serta persembahan artis tempatan.

PERKESO menerusi kenyataan memaklumkan, antara pengisian utama ialah program Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Bersama Rakyat, yang mencerminkan komitmen kementerian untuk turun padang, mendekati masyarakat dan mendengar sendiri pandangan serta keperluan rakyat.

Iklan

Menurutnya, keistimewaan penganjuran kali ini lebih terserlah menerusi penyertaan 11 agensi lain di bawah KESUMA, termasuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Orang ramai mendapatkan penerangan serta khidmat nasihat berkaitan perlindungan keselamatan sosial dan faedah PERKESO di reruai Lindung Pekerja sempena salah satu program PERKESO yang diadakan, baru- baru ini.

"Penglibatan secara bersepadu ini membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan akses terus kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung.

"Antaranya adalah Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

"Penyertaan agensi-agensi berkenaan memperkukuh Festival Mega iLINDUNGu sebagai sebuah platform perkhidmatan rakyat yang lebih menyeluruh dan inklusif," katanya pada Selasa.

Majlis perasmian festival itu akan disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan yang turut dijadualkan melancarkan maskot baharu PERKESO.

Tambah PERKESO, Festival Mega iLINDUNGu bukan sekadar acara hiburan dan kekeluargaan, malah menjadi medan libat urus antara kerajaan dengan rakyat dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan sosial sepanjang hayat.

Jelasnya, penganjuran festival itu juga memperkukuh tekad KESUMA dan PERKESO untuk terus hadir bersama rakyat, mendengar suara mereka dan memastikan tiada golongan pekerja serta keluarga yang tercicir daripada jaringan perlindungan sosial negara.

“Selain itu, pengunjung juga boleh menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utamanya adalah motosikal.

“Festival ini juga menyediakan pelbagai perkhidmatan PERKESO secara langsung kepada pengunjung," ujarnya.

Antara perkhidmatan yang disediakan adalah saringan kesihatan percuma, agihan topi keledar, semakan caruman, khidmat nasihat faedah dan bantuan pendaftaran kepada skim-skim daripada PERKESO.