KUALA LUMPUR - Empat individu ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi pembekalan makanan haiwan kira-kira RM1.8 juta.
Suspek membabitkan seorang anggota dan pesara sebuah agensi penguat kuasa, seorang pengarah dan pengurus pentadbiran sebuah syarikat swasta.
Mereka termasuk seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 60-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam, Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Perintah reman lima hari sehingga 19 September terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan Majistret Aina Azahra Ariffin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur di Mahkamah Majistret, di sini, pada Selasa.
Siasatan awal mendapati keempat-empat suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2023.
Kesemua suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu dalam tuntutan palsu bagi pembekalan makanan haiwan berjumlah kira-kira RM1.8 juta sedangkan jumlah pembekalan sebenar adalah lebih rendah.
Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohammad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahan tersebut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.