Aaron-Kai Wun mahu buat kejutan di Jepun

Iklan
Aaron (kiri) dan Kai Wun selesa tampil sebagai 'underdog' dalam saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya bermula Sabtu ini. Foto: Agensi

STATUS sebagai gandingan baharu membuka ruang buat Aaron Chia-Tee Kai Wun untuk tampil lebih bebas dan mencipta kejutan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang bermula Sabtu ini.

Aaron berkata, mereka boleh memanfaatkan kedudukan sebagai pasangan pecah ganding untuk beraksi dengan lebih tenang, selain memberi cabaran berbeza kepada lawan yang masih belum mengenali sepenuhnya kombinasi mereka.

Iklan
Iklan

"Paling penting, kami akan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan dan berharap dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat untuk Malaysia," katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.

Percaturan itu menyaksikan Aaron, 29, bergandingan dengan Kai Wun selepas pasangan asalnya, Soh Wooi Yik tidak disenaraikan ke temasya berkenaan.

Iklan

Aaron-Wooi Yik sebelum ini menyumbang gangsa pada Sukan Asia Hangzhou 2022, manakala kali terakhir Malaysia meraih emas beregu lelaki adalah menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di Doha pada 2006.

Kejayaan Kien Keat-Boon Heong yang turut mencipta kejutan selepas digandingkan tidak lama sebelum temasya berkenaan menjadi inspirasi, namun Aaron mahu mereka membina cerita sendiri di Aichi-Nagoya.

Iklan

"Saya rasa yang penting kami akan beri yang terbaik dalam setiap perlawanan. Tidak kisah apa pun, kami kena cuba buat yang terbaik dahulu," katanya.

Aaron berkata, gandingannya bersama Kai Wun mempunyai pendekatan berbeza berbanding ketika bersama Wooi Yik apabila mereka lebih banyak memanfaatkan kekuatan masing-masing.

Mereka bagaimanapun berdepan tugas berat apabila hampir semua pasangan terbaik dunia turut mengimpikan podium termasuk Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan dan juara dunia 2026 Liang Wei Keng-Wang Chang dari China.

Selain Aaron-Kai Wun, Malaysia turut mempertaruhkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam acara beregu lelaki.

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober.