TAIPING – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan peluang mengikuti latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) kepada anak-anak nelayan bagi melahirkan tenaga mahir dalam industri perikanan.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada kemahiran marin khususnya pembaikan bot, enjin serta peralatan menangkap ikan.
Menurutnya, program selama 15 bulan itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan institusi kemahiran berkaitan, membabitkan latihan teori serta amali.
“Sektor pembaikan kapal ini juga salah satu sektor yang wujud dalam ekosistem perikanan dan saya mahu melibatkan anak-anak nelayan secara langsung dalam sektor ini supaya keseluruhan ekosistem perikanan itu dikuasai oleh komuniti nelayan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Perak di Pejabat Penghulu Mukim Matang di sini pada Selasa.
Turut hadir Pengarah LKIM Negeri Perak, Ahmad Zulkifli Ismail.
Muhammad Faiz berkata, bagi permulaan, seramai 12 peserta akan dipilih untuk mengikuti program berkenaan, dengan latihan teori dilaksanakan di IKBN Perlis manakala latihan amali di sebuah limbungan di Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Katanya, LKIM memperuntukkan kira-kira RM150,000 bagi pelaksanaan program berkenaan dan peserta perlu berusia 18 tahun ke atas selain mempunyai minat serta kesungguhan untuk menceburi bidang tersebut.
“Saya tidak mahu mereka dapat tauliah kemudian pergi bekerja dalam bidang lain. Saya mahu anak-anak nelayan yang berminat dan betul-betul ada semangat serta kecintaan kepada industri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, LKIM turut meneruskan komitmen menjaga kebajikan nelayan di Perak menerusi bantuan berkaitan bencana alam dan kematian.
Katanya, keseluruhan RM47,400 disalurkan kepada tujuh kawasan nelayan di negeri ini bagi membantu komuniti yang terjejas akibat bencana alam serta kematian.
Selain itu, katanya, sebuah rumah baharu bernilai RM84,000 diserahkan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan di kawasan Matang.
“Keseluruhan di Perak pada tahun ini adalah dua buah rumah bina baharu dan tiga buah rumah dibaik pulih,” katanya.
Beliau berkata, bantuan perumahan berkenaan merupakan sebahagian daripada peruntukan RM10 juta yang disediakan untuk projek khas perumahan nelayan pada tahun ini.