IPOH - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas dua pertuduhan mencabul dan mengaibkan kehormatan seorang pekerja perempuan sebuah kedai serbaneka, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Haziq Danial Zulkifli, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.
Mengikut pertuduhan pertama, penjaga stor itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap remaja berusia 19 tahun berkenaan dengan niat mencabul kehormatannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka di Panorama Lapangan Perdana dalam daerah Kinta kira-kira jam 5.25 pagi pagi 24 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada seorang anak itu didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan mangsa sama dengan melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapan wanita berkenaan pada tarikh, masa dan lokasi sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira mencadangkan jaminan RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Bagaimanapun tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Kathan memohon jumlah lebih rendah dengan alasan tertuduh perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan seorang anak berusia tujuh tahun.
Mahkamah kemudiannnya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Tarikh 22 Oktober depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.