Penyatuan ummah perlu diperluas, bukan sekadar Pas dan UMNO - Tuan Ibrahim

Iklan
Tuan Ibrahim

SHAH ALAM - Gagasan penyatuan ummah perlu diperluaskan kepada pihak lain dan tidak seharusnya dilihat hanya dalam kerangka kerjasama antara Pas serta UMNO semata- mata.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak dinafikan bahawa Pas dan UMNO merupakan dua kekuatan utama dalam politik Melayu-Islam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kedua-dua parti itu mempunyai kedudukan dan pengaruh yang penting untuk menjadi paksi kepada agenda penyatuan ummah.

"Namun, jika gagasan ini hanya dihadkan kepada kerjasama dua parti tersebut, kita mungkin tanpa disedari meminggirkan kelompok lain yang turut mempunyai peranan dan pengaruh dalam masyarakat.

Iklan

"Sebab itu, muafakat perlu diperluas. Penyatuan ummah mesti mampu merangkul pihak lain yang bersedia menerima asas dan matlamat perjuangan yang dipersetujui bersama.

"Kepentingan Melayu-Islam, kestabilan negara dan kesejahteraan seluruh rakyat hendaklah menjadi matlamat yang menyatukan semua kekuatan ini," katanya menerusi hantaran Facebook pada Selasa.

Iklan

Tambah Tuan Ibrahim, bagaimanapun perlu diakui bahawa masih terdapat kebimbangan dalam kalangan sebahagian masyarakat terhadap gagasan politik berteraskan Islam.

Jelasnya, ia mesti diperbetulkan melalui penerangan, pendekatan dan teladan pemerintahan yang membuktikan bahawa keadilan Islam mampu melindungi hak seluruh rakyat.

"Di sinilah Pas dan UMNO, sebagai dua kekuatan utama politik Melayu-Islam, memikul tanggungjawab yang besar.

"Kedua-duanya perlu membantu membina keyakinan bahawa penyatuan ummah bukan agenda untuk menguasai atau menafikan hak pihak lain.

"Sebaliknya, ia bertujuan membentuk kekuatan politik yang mampu memimpin dengan adil, memperkukuh kestabilan negara dan menjamin kesejahteraan seluruh rakyat," ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, penyatuan yang mahu dibina juga bukan semata-mata untuk memenangkan Pas dan UMNO.

"Kemenangan parti hanyalah wasilah. Matlamat yang lebih besar ialah membina kekuatan politik yang mampu menyatukan rakyat, menegakkan keadilan dan menawarkan masa depan negara lebih baik.

"Penyatuan ummah tidak boleh berhenti pada penyatuan Pas dan UMNO. Kedua-duanya boleh menjadi paksi.

" Namun kekuatannya hanya akan sempurna apabila muafakat diperluas, perbezaan diurus dengan hikmah dan seluruh kekuatan yang menerima asas perjuangan bersama dirangkul," jelasnya.