MEDAN – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majelis Pendidikan Tinggi Penelitian dan Pengembangan Pimpinan Pusat Muhammadiyah (Diktilitbang PP Muhammadiyah), sekali gus membuka akses kerjasama dengan 165 institusi pendidikan tinggi di seluruh Indonesia.
Kerjasama strategik itu dijangka memberi lonjakan kepada bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat UniMAP menerusi rangkaian luas institusi pendidikan tinggi di bawah Muhammadiyah.
MoU berkenaan ditandatangani Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli manakala pihak Diktilitbang PP Muhammadiyah diwakili Pengerusinya, Prof Dr Bambang Setiaji dalam satu majlis yang berlangsung di Le Polonia Hotel and Convention di sini pada Isnin.
Majlis itu turut disaksikan Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro-Canselor UniMAP.
Pemeteraian MoU tersebut diadakan bersempena Istiadat Pemasyhuran Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) yang berlangsung di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) pada Ahad.
Menurut Zaliman, kerjasama itu mempunyai nilai strategik yang besar kepada UniMAP kerana bukan sahaja melibatkan hubungan antara dua institusi, malah berpotensi menghubungkan universiti berkenaan dengan keseluruhan rangkaian pendidikan tinggi Muhammadiyah di Indonesia.
“Kerjasama ini membuka ruang kepada mobiliti pelajar, pertukaran staf dan ahli akademik, pengajian pascasiswazah, penyelidikan serta permohonan geran bersama, penerbitan dan penyeliaan bersama.
“Turut diterokai ialah penganjuran syarahan, simposium, seminar, persidangan, bengkel dan program pensyarah pelawat yang boleh memperkaya pengalaman akademik kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama tersebut turut membuka peluang kepada pensyarah daripada rangkaian Universitas Muhammadiyah untuk melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UniMAP selain meneroka pelaksanaan program ijazah dual degree.
Menurutnya, langkah itu berpotensi meningkatkan mobiliti akademik dan memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi antara Malaysia dan Indonesia.
Dalam perkembangan sama, Zaliman berkata, UniMAP kini mempunyai 29 MoU dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan institusi pengajian tinggi di Indonesia, membuktikan hubungan akademik antara kedua-dua negara terus berkembang.
Katanya, kerjasama penyelidikan yang dijalankan melibatkan bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, kemanusiaan, material, antena serta rangkaian dan komunikasi dengan nilai keseluruhan melebihi RM500,000.
“Hubungan ini bukan lagi sekadar pertukaran akademik, tetapi telah berkembang kepada penyelidikan dan inovasi yang mempunyai nilai serta impak lebih besar.
“Melalui jaringan Muhammadiyah yang begitu luas, kita melihat potensi untuk memperbanyakkan lagi kerjasama projek penyelidikan di samping membangunkan bakat yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” ujarnya.
Beliau memaklumkan hampir 100 pelajar dari Indonesia sedang mengikuti pengajian di UniMAP ketika ini, khususnya di peringkat pascasiswazah.
Tambah beliau, perkembangan itu membuktikan usaha pengantarabangsaan UniMAP bukan sahaja memberi peluang kepada warga universiti menimba pengalaman di luar negara, malah menjadikan institusi tersebut sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa.
“Kerjasama dengan Muhammadiyah ini memberikan satu platform yang besar untuk kita memperluas jaringan tersebut, khususnya di Indonesia,” katanya lagi.