MELAKA - Festival Seni Selat & Sungai Melaka 2026 (FSSSM) yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Pantai Tanjung Bidara dari 18 hingga 20 September ini bakal mengetengahkan kepelbagaian seni dan budaya yang berkembang hasil pertembungan pelbagai budaya di sepanjang Selat Melaka.
Program Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka itu turut mendapat kerjasama Kerajaan Melaka melalui Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka (PPSPM) serta Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias berkata, bertemakan ‘Mulanya di Sini... Pusat Pertemuan Budaya’, festival mengangkat kedudukan Selat Melaka sebagai pusat pertemuan budaya dunia sejak lebih 500 tahun lalu.
Menurutnya, edisi 2026 di Tanjung Bidara itu menyerlahkan semangat komuniti dalam usaha melestarikan seni dan budaya.
“Pemilihan Tanjung Bidara itu sendiri sinonim prinsip diaspora yang diserlahkan dalam Malam Budaya Tanjung Bidara,” katanya.
Katanya, sepanjang penganjuran, pelbagai aktiviti disediakan termasuk Pencungkilan Bakat, Riadah dan Pelancongan, Karnival Sukan Rakyat, Malam Budaya Tanjung Bidara serta Program Keilmuan Audio Siar (Podcast).
Selain itu, aktiviti pelancongan air ditawarkan ialah Banana Boat Riding, Jet Ski dan Mini Fun Ride, selain pertandingan Tempur Cabaran Joget X Zapin, Ratu Kebaya Selat Melaka, Pencarian Suara Datuk Jamal Abdillah dan Pertandingan Bintang Irama Selat Melaka.
Sementara itu, program keilmuan pula menampilkan sesi audio siar bersama Sasterawan Negara, Prof Dr Muhammad Salleh; penulis buku Kepulauan Melayu, Ninot Aziz dan Pengarah Urusan Nusantara Research Center, Prof Dr Mohd Anis Md Noor.
Festival juga menampilkan demonstrasi serta pengedaran Nasi Lemak Kukus Melaka sebagai usaha mempromosikan Budaya Sarapan Malaysia yang mendapat pengiktirafan UNESCO pada 2024 menerusi Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity.
Kemuncak FSSSM 2026 ialah Malam Budaya Tanjung Bidara (MBTB) pada Sabtu, 19 September, bermula jam 8 malam dengan persembahan menggabungkan unsur sejarah, kearifan tempatan dan hiburan semasa, membabitkan hampir 500 peserta.
Antara artis dan penggiat seni yang terlibat ialah penyanyi dari Indonesia, Bunga Sirait yang terkenal dengan irama Melayu Deli; Dr Shafa’atussara Silahuddin; Bitara Syair Nusantara; Raja Pop Melayu, Datuk Jamal Abdillah; Haziq Rosebi; Harmontradiloka dan Fakulti Tari Aswara.
Acara itu turut diserikan dengan Penutupan Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) serta Konsert Hiburan Rakyat yang menampilkan barisan artis termasuk penampilan khas Amy Search, Syafiq Farhain dan Charly Van Houten daripada ST12.
Maklumat lanjut boleh didapati menerusi www.jkkn.gov.my atau Facebook JKKN, MySeni Budaya.