GRAND Prix (GP) San Marino menjadi medan penting buat pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, untuk mendapatkan semula keyakinan dan keserasian dengan jentera selepas melalui hujung minggu yang mencabar di Litar Misano.
Walaupun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-12, Hakim Danish menghasilkan kebangkitan mengagumkan apabila memperbaiki 13 kedudukan selepas memulakan saingan dari petak ke-25.
Kebangkitan itu membolehkan pelumba berusia 19 tahun berkenaan mengutip empat mata tambahan dalam Kejuaraan Dunia Moto3, sekali gus menjadikan keseluruhan kutipannya musim ini sebanyak 94 mata.
Hakim Danish yang sepatutnya bermula dari petak ke-18 dikenakan penalti turun ke petak ke-25 selepas didapati menunggang terlalu perlahan di beberapa sektor ketika sesi Kelayakan 1 (Q1).
Bagaimanapun, penalti itu tidak menjejaskan fokusnya apabila dia memperbaiki 13 kedudukan untuk melintasi garisan penamat di tempat ke-12 dengan catatan 34 minit 05.048 saat.
Mengulas perlumbaan berkenaan, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mengakui masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan keputusan tersebut, namun menyifatkannya penting untuk mengembalikan keyakinan serta mendapatkan semula keserasian ketika menunggang.
“Saya tetap gembira kerana berjaya bangkit selepas bermula dari barisan belakang dan kembali ke kelompok hadapan.
“Saya cuba mengejar pelumba di hadapan dan memberikan tekanan sejak awal perlumbaan sehingga ke garisan penamat. Saya tidak berputus asa dan terus memberikan segala-galanya sepanjang perlumbaan.
“Saya rasa perlumbaan ini banyak membantu saya mendapatkan semula keyakinan dan keserasian dengan jentera. Saya kembali mendapat keserasian yang lebih baik ketika menunggang dan mampu menekan dengan lebih kuat,” katanya.
Bermula dari barisan belakang susulan penalti grid, pelumba kelahiran Terengganu itu terus menunjukkan semangat juang apabila memintas tiga pelumba pada pusingan pertama untuk naik ke tempat ke-22.
Kedudukannya terus meningkat secara berperingkat apabila berada di tempat ke-20, ke-19 dan ke-18 menjelang pusingan keempat sebelum kembali ke tempat ke-19 pada pusingan kelima dan keenam.
Hakim Danish kemudian memperbaiki kedudukan ke tempat ke-16 pada pusingan ketujuh sebelum memasuki kelompok kutipan mata apabila berada di tempat ke-15 pada pusingan kelapan.
Persaingan sengit dalam kelompok pertengahan menyaksikan kedudukannya beberapa kali berubah antara tempat ke-14 dan ke-15 dari pusingan ke-11 hingga ke-17.
Memasuki fasa akhir perlumbaan, Hakim Danish terus menekan apabila melonjak ke tempat ke-13 pada pusingan ke-18 dan ke-19 sebelum menamatkan saingan di kedudukan ke-12.
Selain keputusan perlumbaan, Hakim Danish melihat pengalaman bersaing dalam kelompok pelumba sebagai satu lagi pembelajaran penting untuk menghadapi baki musim ini.
“Pada masa sama, saya belajar banyak perkara daripada perlumbaan ini, terutama dari segi cara menguruskan perlumbaan dan membuat keputusan ketika berada dalam kelompok pelumba.
“Untuk perlumbaan di GP Austria nanti, saya mahu memperbaiki kelemahan yang saya lakukan pada minggu ini.
“Saya akan cuba membuat persediaan sebaik mungkin dan memberikan yang terbaik di Austria. Saya mahu terus membina momentum ini dan melakukan satu lagi kebangkitan yang lebih baik,” katanya.
Hakim Danish berada di tangga kelapan keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan 94 mata menjelang GP Austria pada 20 September ini.
Sementara itu, Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, mengakui perlumbaan di Misano merupakan minggu yang mencabar buat Hakim Danish dan pasukan, terutama selepas keadaan cuaca menjejaskan persiapan awal.
Menurutnya, proses penyesuaian Hakim Danish dengan litar berkenaan agak perlahan apabila sesi Latihan Bebas 1 (FP1) berlangsung dalam keadaan basah, manakala FP2 turut terjejas akibat cuaca sama.
“Malangnya, pada sesi latihan, Danish mengalami masalah pada motosikalnya menjelang penghujung sesi sehingga menyebabkan dia terpaksa melalui sesi Kelayakan 1 (Q1).
“Ketika sesi Q1, Danish dikenakan penalti kerana menunggang terlalu perlahan di beberapa sektor. Ini adalah sebahagian daripada cabaran dalam Moto3 yang sentiasa perlu kita ingatkan kepada Danish, terutama kerana ingin mendapatkan kelebihan ‘slipstream’,” katanya.
Bagaimanapun, Zulfahmi melihat kebangkitan Hakim Danish dalam perlumbaan sebagai perkembangan positif, malah percaya rentak yang ditunjukkannya mampu menyamai pelumba dalam kelompok enam terbaik.
“Bagaimanapun, kita dapat lihat Danish memberikan yang terbaik dalam perlumbaan selepas dikenakan penalti. Dia bermula di petak ke-25 dan berjaya bangkit untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.
“Saya berharap penalti seperti ini tidak berlaku lagi dan saya percaya rentak yang ditunjukkan Danish dalam perlumbaan semalam sebenarnya setanding dengan pelumba dalam kelompok enam terbaik.
“Saya percaya dengan potensi Hakim Danish. Cuma, kadang-kadang kesilapan kecil boleh memberikan kesan yang besar terhadap keseluruhan hujung minggu perlumbaan kita,” katanya.