21,902 alumni Kor Suksis direkodkan, 1,248 pilih kerjaya polis

Iklan
Pelatih Kor Suksis dari universiti seluruh negara yang berjaya menamatkan latihan pada tahun ini. - Foto: SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Seramai 21,902 alumni Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi (Kor SUKSIS) direkodkan sejak penubuhannya pada 2002, namun hanya 1,248 orang atau 5.7 peratus memilih untuk berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tidak semua alumni Kor SUKSIS memilih kerjaya dalam pasukan keselamatan kerana masing-masing mempunyai latar belakang pengajian serta hala tuju kerjaya yang berbeza.

Iklan
Iklan

“Secara keseluruhan, seramai 21,902 alumni Kor SUKSIS direkodkan sejak penubuhannya.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,248 orang atau 5.7 peratus berkhidmat bersama PDRM,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS Universiti Awam Ke-22 Tahun 2026 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Isnin.

Iklan

Turut hadir Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Dr Arham Abdullah.

Menurut Noor Hisam, alumni Kor SUKSIS tetap mempunyai kelebihan dari segi merit apabila memohon untuk menyertai PDRM, namun mereka masih perlu memenuhi syarat umum pengambilan yang ditetapkan.

Iklan

Katanya, syarat berkenaan meliputi aspek ketinggian, berat badan, indeks jisim badan (BMI) serta beberapa tapisan lain sebelum seseorang calon dipertimbangkan untuk menyertai pasukan polis.

“Merit atau keistimewaan itu tetap ada, namun mereka masih perlu memenuhi syarat-syarat umum yang ditetapkan dan tidak boleh mengetepikan syarat tersebut.

“Bukan semua yang menyertai Kor SUKSIS berhasrat menjadi anggota polis. Ada yang mengikuti bidang pengajian lain dan mempunyai kerjaya masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, jumlah pengambilan alumni Kor SUKSIS ke dalam PDRM turut bergantung kepada keperluan serta kuota yang ditentukan oleh Jabatan Pengurusan PDRM.

Dalam majlis yang sama, seramai 1,055 pelatih daripada 19 universiti awam menerima pentauliahan selepas menamatkan latihan pada tahun ini.

“Ada pelbagai kaum termasuk masyarakat Orang Asli menyertai Kor SUKSIS, namun majoritinya terdiri daripada orang Melayu,” katanya.

Program Kor SUKSIS dilaksanakan selama tiga tahun atau enam semester dengan jumlah latihan sekurang-kurangnya 672 jam yang merangkumi aspek disiplin, kepolisan, kepimpinan dan kemahiran berkaitan keselamatan.