KOTA TINGGI – “Itulah kali terakhir saya melihat abang dan kakak ipar begitu ceria.”
Demikian luahan Nur Ellysya Alias, 29, mengenang pertemuan terakhir bersama abangnya, Mohd Herwan, 38, dan kakak iparnya, Nur Ezazaya Mohd Ali, 34, ketika mereka sekeluarga beriadah di Gunung Berlumut, Kluang pada Ahad.
Kegembiraan itu bagaimanapun bertukar tragedi apabila pasangan suami isteri berkenaan maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 31.2, Jalan Kota Tinggi-Kluang pada petang hari sama.
Nur Ellysya berkata, sebelum kejadian, abang dan kakak iparnya bersama tiga keluarga lain meluangkan masa beriadah di Gunung Berlumut sebelum masing-masing bertolak pulang selepas Asar.
Menurutnya, dia melihat perubahan ketara pada pasangan berkenaan terutama kakak iparnya yang kelihatan lebih ceria berbanding kebiasaan.
“Mereka berdua pun tidak berenggang dan sentiasa berkepit. Jarang nak tengok mereka macam itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi pada Isnin.
Menurut Nur Ellysya, mereka pada awalnya merancang untuk pulang secara berkonvoi, namun abangnya memaklumkan mahu singgah di bandar Kota Tinggi bagi membeli barang keperluan.
Disebabkan itu, pasangan berkenaan mengambil laluan menuju Kota Tinggi manakala ahli keluarga lain menggunakan jalan berbeza.
“Selepas itu, saya cuba hubungi kakak ipar tetapi tidak berjawab. Sepupu ada melihat di Facebook mengenai satu kemalangan, tetapi ketika itu kami belum mengesyaki apa-apa.
“Kemudian besan mak memberitahu abang dan kakak ipar terlibat dalam kemalangan. Kami yang sudah sampai di rumah terus berpatah balik ke hospital untuk membuat pengecaman,” katanya.
Nur Ellysya berkata, dia turut teringat tindakan pasangan itu yang tidak membenarkan ibu dan anaknya menaiki kenderaan bersama mereka sebelum bertolak pulang.
“Sebab itulah mereka melarang mak dan anak saya naik kereta bersama. Mungkin mereka dah tahu nak pergi,” katanya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan tiga individu maut selepas dua kenderaan bertembung di Kilometer 31.2, Jalan Kota Tinggi-Kluang kira-kira jam 6.20 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah Honda BR-V dari arah Kota Tinggi terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh Perodua Axia dinaiki pasangan suami isteri berkenaan.
Mereka yang maut di lokasi kejadian ialah penumpang Honda BR-V, Mohd Noor Selamat, 58, dan Nur Ezazaya, manakala Mohd Herwan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Jenazah pasangan suami isteri itu dijadualkan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Buai selepas Asar pada Isnin.