'Tarik balik, mohon maaf' - Pemimpin Sabah kecam jenaka paderi, biarawati di pentas PAU

Iklan
Salleh (kanan) turut senada dengan Madius dan menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai tidak wajar serta kurang peka terhadap sensitiviti penganut Kristian di negara ini.

KOTA KINABALU - Pemimpin politik Sabah membidas tindakan seorang perwakilan UMNO yang didakwa menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka berunsur seksual ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru ini.

Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, paderi Katolik dan biarawati tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan politik utama negara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran, sama ada perkara itu dimaksudkan sebagai jenaka atau sindiran, ia tetap tidak wajar kerana menyinggung perasaan masyarakat beragama Kristian di seluruh negara.

Beliau berkata demikian susulan ucapan seorang perwakilan UMNO yang menggunakan kisah membabitkan paderi dan biarawati, termasuk rujukan kepada Mazmur 129, sebagai sebahagian daripada ucapannya.

Iklan

Laporan mengenai ucapan berkenaan menyatakan kisah tersebut digunakan bagi menggambarkan kepentingan untuk kekal fokus dan mengetahui matlamat yang ingin dicapai.

Sementara itu, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak turut senada dengan Madius dan menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai tidak wajar serta kurang peka terhadap sensitiviti penganut Kristian di negara ini.

Iklan

Menurut Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah, jenaka berunsur seksual yang mengaitkan biarawati dan paderi Katolik tidak boleh diterima dan pemimpin UMNO terbabit sewajarnya memohon maaf secara terbuka.

"Pemimpin UMNO berkenaan wajar memohon maaf secara terbuka dan ikhlas. Ini bukan soal politik. Ini soal rasa hormat, tanggungjawab dan memahami batas yang tidak sepatutnya dilanggar.

"Di Sabah, umat Islam, Kristian dan penganut agama lain telah hidup bersama dengan saling menghormati sejak sekian lama.

"Semangat toleransi dan keharmonian ini mesti terus kita pelihara. Apabila sesuatu itu salah, kita mesti berani menyatakan bahawa ia salah, tanpa mengira siapa yang melakukannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.