Abdul Aziz dilantik Timbalan Ketua Polis Negara baharu

Iklan
Abdul Aziz (dua dari kanan) dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa 9 September.

PUTRAJAYA - Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa 9 September.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenan pelantikan Abdul Aziz seperti termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Abdul Aziz dilahirkan pada 19 Februari 1967 di Penaga, Pulau Pinang dan berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Beliau mula dilantik dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Julai 1995.

Iklan

"Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah ditempatkan di pelbagai jabatan dalam PDRM. Antaranya Jabatan Pengurusan, Jabatan Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, selaras dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, Abdul Aziz telah berkhidmat di pelbagai jawatan strategik dalam PDRM.

Iklan

Saifuddin yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis berkata, antara jawatan strategik itu ialah sebagai Pengarah Pengurusan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Timbalan Pengarah Narkotik, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Dasar/Sumber dan Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu.

"Bagi memperkukuh profesionalisme, beliau (Abdul Aziz) juga telah menghadiri pelbagai kursus dan seminar, termasuk The 8th International Symposium of Best Police Practice (Dubai, Emiriah Arab Bersatu) dan Intelligence Management Development Programme (Australia).

"Berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam bidang kepolisan, beliau juga mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi sebagai Timbalan Ketua Polis Negara," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan ini.

Sebelum ini, Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Ibrahim Darus memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara.

Pelantikan Ibrahim itu bagi menggantikan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang bersara wajib bermula 27 Julai selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam pasukan keramat PDRM.