Dokumen Pendaftaran Pelarian bukan untuk beri kewarganegaraan

Iklan
Awang Alik (dua dari kiri) mengiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa, pada Isnin. Foto Bernama

PUTRAJAYA – Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bukan bertujuan memberikan kewarganegaraan kepada mana-mana individu.

Tegas Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Dr Awang Alik Jeman, DPP dilaksanakan bagi membolehkan kerajaan mendapatkan maklumat yang lebih tepat mengenai jumlah individu yang berada di negara ini, termasuk identiti dan lokasi mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu perlu dijelaskan susulan terdapat pihak yang mendakwa pelaksanaan DPP mempunyai kaitan dengan usaha memberikan kewarganegaraan kepada individu tertentu.

“DPP ini bukan untuk bagi kewarganegaraan kepada orang, bukan. Tujuannya untuk kita tahu berapa bilangan sebenarnya orang yang datang ke negara kita, siapa mereka dan di mana mereka berada.

Iklan

“Kita tidak mahu hanya bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh satu entiti lain kerana kita tidak tahu jumlah yang sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini pada Isnin.

Iklan

Ujar Awang Alik, isu kewarganegaraan pula mempunyai proses dan syarat tertentu yang perlu dipatuhi dan bukan sesuatu yang boleh diberikan kepada mana-mana individu sesuka hati.

Katanya, terdapat pihak yang mempersoalkan tindakan kerajaan tidak memberikan kewarganegaraan kepada individu tertentu yang sudah lama berada di Malaysia, sedangkan semakan mendapati terdapat syarat yang tidak dipenuhi.

“Kita tidak boleh bagi warga negara kepada orang yang dia fikir layak untuk menjadi warga negara tetapi dari segi syarat, tidak layak,” jelas beliau.

DPP mula dilaksanakan pada 1 Januari lalu oleh menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mewujudkan sistem pendaftaran pelarian yang dikendalikan kerajaan sendiri.

Program itu dilaksanakan selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023), termasuk bagi mendapatkan data biometrik dan maklumat identiti pelarian yang lebih tepat, lengkap serta boleh disahkan.

DPP turut membabitkan proses pendaftaran maklumat biometrik, tapisan keselamatan serta penentuan dan pengesahan status individu yang memohon perlindungan sementara di Malaysia.

Pada fasa pertama, KDN memberi tumpuan kepada penghuni depot tahanan imigresen di seluruh Semenanjung, dengan 4,010 individu telah didatakan setakat Jun lalu, manakala fasa kedua melibatkan pemegang kad UNHCR dan individu yang mengaku sebagai pelarian di luar depot dirancang bermula pada separuh kedua 2026.

Dalam pada itu, Awang Alik meminta warga KDN memberikan penjelasan yang jelas dan tepat sekiranya ditanya mengenai tujuan pelaksanaan DPP.

“Saya minta sangat-sangat daripada semua pihak agar kita berkongsi. Kalau ada siapa di luar sana yang bertanyakan pasal DPP, betul ke DPP ini untuk beri kewarganegaraan, nyatakan dengan jelas dan terang.

“Bukan, bukan untuk bagi kewarganegaraan,” katanya.