YAKIN perluas akses perubatan regeneratif ke seluruh negara

Iklan
Pengarah Yakin Splendour Global Holdings Bhd, Datuk Steven Lai (depan, kiri) bersama Pengasas serta Pengarah Perubatan Hospital UMRA, Datuk Dr Mohamed Rafi Datuk Dr Mohammed Feizal memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sambil disaksikan  Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Yakin, Dr. Patrick Tan (belakang, kiri) dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal Timbalan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi

Pengarah Yakin Splendour Global Holdings Bhd, Datuk Steven Lai (depan, kiri) bersama Pengasas serta Pengarah Perubatan Hospital UMRA, Datuk Dr Mohamed Rafi Datuk Dr Mohammed Feizal memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sambil disaksikan  Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Yakin, Dr. Patrick Tan (belakang, kiri) dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal Timbalan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi

KUALA LUMPUR – Yakin Splendour Global Holdings Bhd (YAKIN) mengumumkan tiga inisiatif strategik dalam usaha memperluas pendedahan serta akses masyarakat Malaysia terhadap perubatan regeneratif.

Iklan
Iklan

Tiga inisiatif berkenaan membabitkan kerjasama klinikal strategik bersama Hospital UMRA, pembukaan Merkel Clinic Ipoh serta pelantikan legenda badminton negara, adik-beradik Sidek sebagai Duta Testimoni MSC Physoxic.

Menurut YAKIN, langkah berkenaan merupakan usaha bersepadu untuk membangunkan ekosistem penjagaan kesihatan regeneratif yang lebih mudah diakses di Malaysia, disokong kepakaran perubatan, capaian lebih meluas serta pengalaman dan sokongan tokoh yang dipercayai.

Iklan

Kerjasama Hospital UMRA

YAKIN memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Hospital UMRA, sebuah penyedia penjagaan kesihatan swasta multidisiplin yang ditubuhkan pada 2006.

Iklan

Perjanjian itu ditandatangani Pengarah Yakin Splendour Global Holdings Bhd, Datuk Steven Lai dan Pengasas serta Pengarah Perubatan Hospital UMRA, Datuk Dr Mohamed Rafi Datul Dr Mohammed Feizal.

Hospital UMRA yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan kepada pesakit daripada pelbagai latar belakang, khususnya komuniti Muslim.

Hospital berkenaan berusaha menjadi ‘Hospital Pilihan’ bagi pesakit Muslim di seluruh Lembah Klang dengan menawarkan rawatan berkualiti yang mudah diakses, mesra serta mengambil kira keperluan mereka.

Kerjasama itu menggabungkan pengetahuan dan keupayaan YAKIN dalam teknologi sel stem mesenchymal yang diperoleh daripada tali pusat, atau lebih dikenali sebagai teknologi UC-MSC, dengan kepakaran klinikal Hospital UMRA.

Steven berkata, kerjasama berkenaan membuka ruang untuk memperkenalkan perkhidmatan perubatan regeneratif secara bertanggungjawab dalam persekitaran perubatan yang sesuai dengan mengambil kira penilaian doktor, kesesuaian setiap pesakit serta semua keperluan dan peraturan ditetapkan.

Beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah bermakna dalam usaha membawa pilihan rawatan dan perkembangan baharu dalam bidang kesihatan lebih dekat kepada pesakit.

“Kerjasama ini menggabungkan keupayaan YAKIN dalam perubatan regeneratif dengan asas klinikal Hospital UMRA yang kukuh serta komitmennya terhadap pesakit.

“Objektif bersama kami adalah untuk menjadikan penjagaan kesihatan regeneratif diberikan sewajarnya. Selain itu, kami juga ingin ia lebih mudah diakses.

“Walau bagaimanapun, kami tetap mementingkan penjagaan kualiti dan keselamatan dan rawatan hanya akan dijalankan oleh doktor yang bertauliah. Kami ambil serius keperluan setiap pesakit untuk menerima rawatan terbaik yang kami sediakan,” katanya.

Tambah beliau, kemajuan dalam bidang perubatan regeneratif memerlukan kerjasama antara penyedia teknologi, institusi kesihatan dan pakar perubatan yang berkelayakan.

“Inovasi akan memberi impak yang lebih besar apabila disokong oleh pihak hospital yang dipercayai dan dilaksanakan dalam persekitaran klinikal yang sesuai.

“Melalui Hospital UMRA, kami berharap dapat membantu lebih ramai pesakit memahami potensi perubatan regeneratif serta dapat mendengar pandangan dan nasihat yang sesuai berdasarkan keperluan kesihatan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Rafi mengalu-alukan kerjasama tersebut yang disifatkan selari dengan usaha Hospital UMRA untuk terus memperkukuh rangkaian perkhidmatan penjagaan kesihatannya.

“Kerjasama ini selari dengan usaha kami untuk menjadi pilihan utama dalam menawarkan penjagaan kesihatan, dengan membawa lebih banyak pilihan rawatan yang lebih moden kepada pesakit hari ini.

“Seiring perubatan terus berkembang, institusi penjagaan kesihatan perlu kekal terbuka terhadap inovasi sambil mengekalkan standard klinikal dan etika yang sewajarnya.

“Kami percaya kerjasama ini akan membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pesakit dan memenuhi keperluan penjagaan kesihatan,” katanya.

Adik-beradik Sidek dilantik duta

Dalam perkembangan sama, YAKIN turut mengumumkan pelantikan dua legenda badminton negara, Datuk Dr Mohmed Misbun Datuk Mohd Sidek dan Datuk Seri Mohd Jalani Datuk Mohd Sidek sebagai Duta Testimoni MSC Physoxic.

YAKIN telah melantik legenda sukan Malaysia Misbun (kiri) dan Mohd Jalani (kanan) sebagai Duta Testimoni Physoxic MSC.

Kedua-duanya merupakan antara wira yang mencipta sejarah ketika Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992.

Pelantikan itu disampaikan secara rasmi oleh Steven sebagai penghargaan terhadap sumbangan berterusan kedua-dua adik-beradik berkenaan dalam arena sukan Malaysia, selain mengiktiraf nilai disiplin, ketahanan dan semangat tidak mudah berputus asa yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjaya mereka.

Adik-beradik Sidek merupakan sebahagian daripada salah satu keluarga badminton paling terkenal di Malaysia dengan antara pencapaian mereka termasuk kejayaan di All England Open yang berprestij.

Mereka turut menyumbang kepada kejayaan bersejarah Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992 yang menamatkan penantian 25 tahun negara untuk kembali merangkul kejuaraan berpasukan berkenaan.

Di sebalik pencapaian kompetitif, kedua-duanya terus menyumbangkan tenaga dalam pembangunan sukan negara sebagai jurulatih, mentor dan pendukung generasi atlet Malaysia pada masa hadapan.

Dalam peranan baharu itu, adik-beradik Sidek akan membantu memperkenalkan serta meningkatkan kesedaran mengenai terapi MSC Physoxic kepada masyarakat, selain berkongsi mengenai potensi penggunaannya dalam membantu proses pemulihan, pergerakan dan kesihatan otot, terutama di bahagian lutut serta tulang.

Bagaimanapun, sebarang keputusan rawatan adalah tertakluk kepada penilaian profesional perubatan yang berkelayakan serta mengambil kira keadaan setiap pesakit.

Steven berkata, pelantikan itu amat bersesuaian kerana ia menggabungkan fokus YAKIN dalam bidang kesihatan dengan pengalaman luas adik-beradik Sidek yang telah lama berkecimpung dalam dunia sukan dan pembangunan atlet.

“Adik-beradik Sidek adalah contoh terbaik nilai yang begitu dekat dengan rakyat Malaysia iaitu disiplin, kesungguhan, semangat juang dan usaha untuk sentiasa mencapai yang terbaik.

“Nilai-nilai inilah yang turut penting dalam perjalanan untuk pulih dan mengekalkan kesihatan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan mereka sebagai Duta Testimoni MSC Physoxic akan membantu YAKIN berkongsi dengan lebih ramai masyarakat mengenai kepentingan proses pemulihan dan penjagaan kesihatan yang betul, khususnya dalam kalangan atlet, mereka yang aktif bersukan serta masyarakat umum.

“Dengan pengalaman luas dalam sukan berprestasi tinggi, mereka sendiri memahami cabaran serta tuntutan fizikal yang perlu dilalui oleh seorang atlet,” katanya.

Misbun pula berkata, atlet elit lebih memahami bagaimana kecederaan dan tekanan fizikal boleh menjejaskan prestasi, keyakinan serta kualiti hidup.

“Kami sendiri tahu bagaimana rasanya apabila tubuh diperah hingga ke tahap maksimum dan kami faham betapa pentingnya proses pemulihan.

“Bagi kami, yang penting adalah memastikan rakyat Malaysia mendapat maklumat yang betul dan boleh dipercayai supaya mereka dapat membuat keputusan yang tepat tentang kesihatan dengan bimbingan profesional perubatan yang berkelayakan,” katanya.

Jalani berkata, kecemerlangan sebenar bukan hanya berkaitan pencapaian di gelanggang, tetapi turut melibatkan aspek penjagaan tubuh selepas sesuatu perlawanan berakhir.

“Pemulihan dan kualiti hidup yang baik adalah sesuatu yang harus dinikmati oleh setiap rakyat Malaysia. Kami berbangga dapat membantu menyampaikan kesedaran tentang perkara ini kepada lebih ramai orang,” katanya.

Steven berkata, adik-beradik Sidek mencerminkan nilai yang diperjuangkan YAKIN, termasuk daya tahan, integriti dan kecemerlangan.

“Apa yang mereka sampaikan lebih dipercayai kerana ia datang daripada pengalaman yang mereka sendiri lalui.

“Bersama-sama, kami mahu membantu lebih ramai rakyat Malaysia memahami perubatan moden dalam pemulihan,” katanya.

Merkel Clinic Ipoh perluas akses ke utara

Sementara itu, YAKIN turut menjalin usaha sama dengan MDM Group Holding Sdn Bhd bagi menubuhkan Merkel Clinic Ipoh, sekali gus membawa perkhidmatan khusus perubatan regeneratif ke Perak.

Langkah itu dijangka memudahkan pesakit di bahagian utara Malaysia mendapatkan rawatan tanpa perlu menempuh perjalanan beratus-ratus kilometer.

Perjanjian berkenaan ditandatangani Steven dan Pengarah MDM Group Holding Sdn Bhd, Milky Tan, sekali gus menandakan peluasan besar pertama YAKIN di luar Lembah Klang sebagai sebahagian strategi terancang untuk memperluaskan akses kepada penjagaan kesihatan bertaraf dunia.

Jelas Steven, pesakit tidak perlu lagi datang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan pilihan rawatan termaju.

“Dengan membawa perkhidmatan kami lebih dekat kepada masyarakat, terutama di Perak, kami berharap ia dapat meningkatkan kemudahan, menambah kesedaran dan memastikan lebih ramai pesakit boleh mendapatkan pandangan serta penilaian perubatan profesional sebelum memutuskan untuk menjalani rawatan regeneratif.

“Merkel Clinic Ipoh memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan penilaian, pandangan serta penjagaan daripada pakar dengan lebih mudah tanpa perlu pergi jauh.

“Usaha ini bukan sahaja membantu meningkatkan standard dan kesedaran kesihatan, tetapi juga memastikan lebih ramai masyarakat dapat mengikuti perkembangan dalam bidang perubatan tanpa mengira lokasi mereka,” katanya.

Steven (duduk, kiri) dan Milky Tan (duduk, kanan) menandatangani memeterai MOU, menandakan langkah strategik YAKIN dalam memperluaskan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia di luar Lembah Klang yang lebih dekat dengan masyarakat.

Beliau berkata, kerjasama itu turut mencerminkan komitmen YAKIN untuk membawa pilihan dan penyelesaian penjagaan kesihatan moden lebih dekat kepada rakyat Malaysia.

Milky pula berkata, usaha sama berkenaan akan menggabungkan keupayaan penjagaan kesihatan regeneratif YAKIN dengan pengetahuan tempatan serta komitmen MDM Group Holding untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di bahagian utara Malaysia.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan YAKIN untuk membawa standard penjagaan Merkel Clinic ke Ipoh supaya lebih ramai pesakit dapat menerima nasihat profesional dan mendapatkan akses kepada pilihan penjagaan kesihatan moden dengan lebih dekat,” katanya.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan fasiliti penjagaan kesihatan yang menggabungkan kepakaran YAKIN dalam bidang perubatan regeneratif.

“Kami mahu penduduk Ipoh dan Perak berasa yakin bahawa perkhidmatan penjagaan kesihatan regeneratif berkualiti tinggi semakin mudah diakses dalam komuniti mereka sendiri,” katanya.

Bangunkan ekosistem penjagaan kesihatan regeneratif

Steven berkata, ketiga-tiga inisiatif itu merupakan strategi YAKIN untuk terus berkembang dengan memperkukuhkan kerjasama bersama institusi kesihatan, memperluaskan rangkaian ke lebih banyak lokasi serta meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai penjagaan kesihatan regeneratif.

Menurutnya, melalui kerjasama dengan institusi kesihatan seperti Hospital UMRA, pembukaan Merkel Clinic di Ipoh serta pelantikan tokoh sukan negara sebagai duta, YAKIN menghubungkan inovasi perubatan dengan institusi yang dipercayai dan tokoh masyarakat yang dikenali ramai.

Beliau berkata, pengumuman berkenaan menandakan permulaan kepada usaha lebih meluas bagi memperkukuhkan lagi impak YAKIN di seluruh Malaysia.

“Ketiga-tiga pencapaian ini berkongsi satu matlamat yang sama iaitu membawa perkhidmatan penjagaan kesihatan regeneratif yang bertanggungjawab dan dikendalikan secara profesional lebih dekat kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.

“Sama ada menerusi hospital yang dipercayai, klinik berdekatan atau tokoh yang dikagumi, kami mahu memastikan akses kepada penjagaan kesihatan termaju lebih dekat kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, misi syarikat itu jelas iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara yang menawarkan perubatan regeneratif yang selamat, bertanggungjawab, mudah diakses serta dibangunkan sendiri dengan penuh kebanggaan.