[VIDEO] Jamil Khir didakwa sebabkan TH lupus harta RM860.3 juta

Iklan

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tiga pertuduhan menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan harta kepada syarikat hartanah yang berpangkalan di Arab Saudi mencecah RM860,308,770.51 atau SAR766,062,237 (riyal Saudi), antara 2015 hingga 2017.

Jamil Khir Baharom yang memakai kot berwarna hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Iklan
Iklan

“Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya yang berdiri dalam kandang tertuduh.

Mengikut semua pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Jerai berusia 65 tahun itu didakwa ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menyebabkan Lembaga TH melupuskan harta milik institusi itu, iaitu wang RM42,942,074 bersamaan SAR44.17 juta, RM288,172,134.64 (SAR250,041,622) dan RM529,194,561.87 (SAR471,848,615) kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.

Iklan

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya dan Kompleks Islam Putrajaya, pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin warga tempatan.

“Walaupun pertuduhan berkenaan termasuk dalam kesalahan yang boleh dijamin, namun mahkamah perlu mengambil kira keseriusan kesalahan, skala kewangan dan risiko berkaitan kes itu.

“Jumlah keseluruhan semua kes ini membabitkan lebih RM860 juta, maka kami cadangkan mahkamah menetapkan syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Jamil Khir merayu ahli politik berkenaan dikenakan ikat jamin pada kadar minimum, sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin.

Beliau berkata, anak guam bersedia menyerahkan dokumen perjalanan antarabangsa kepada mahkamah sebagai jaminan tambahan.

"Yang Arif, anak guam saya tidak mempunyai sumber pendapatan lain, hanya pencennya sebagai bekas menteri dan bekas Mejar Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia.

"Memadai jumlah RM300,000 dengan seorang penjamin dan pasport sebagai jaminan kehadirannya ke mahkamah," kata peguam itu yang hadir bersama peguam, Datuk Zaidi Ahmad Zaidi Zainal dan Datuk Hamidi Mohd Noh.

Beliau turut memberitahu, anak lelaki Jamil Khir, kelima daripada enam beradik hadir membayar ikat jamin tersebut.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rosli membenarkan Jamil Khir diikat jamin sebanyak RM300,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan tersebut.

Mahkamah menetapkan 5 November depan untuk sebutan semula kes.

Jamil Khir menjadi individu kelima didakwa di mahkamah selepas dikaitkan dengan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga TH didedahkan kepada umum.

Dua bekas pengurus THP Bina Sdn Bhd, Nasahruddin Ahmad, 56, dan Tengku Kamarolhi¬sham Tengku Kamaruddin, 55, didakwa pada 4 September lalu.

Sementara itu, dua yang dituduh ialah bekas Pengerusi Lembaga TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd, Datuk Azmi Ahmad didakwa masing-masing pada 9 dan 10 September.

Sebelum ini, bekas menteri itu ditahan pada 2 September ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung pendedahan Laporan RCI TH.

Laporan RCI TH didedahkan kepada umum pada 29 Julai, yang merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, serta menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.

Media juga melaporkan TH mencatat kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah dengan tujuh daripadanya merekodkan kerugian 100 peratus.