SHAH ALAM - Tak perasan lampu merah antara alasan paling kerap diberikan pengguna jalan raya sebaik ditahan selepas didapati gagal mematuhi lampu isyarat.
Bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, alasan itu mungkin kedengaran biasa, namun perbuatan beberapa saat itu tidak boleh dipandang ringan kerana membawa kepada kemalangan serius atau kehilangan nyawa.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, melanggar lampu merah antara kesalahan paling membimbangkan dan berbahaya.
Ahmad Kamarunzaman berkata, ada juga yang memberi alasan tergesa-gesa kerana perlu ke tempat kerja, mengambil anak, menghadiri urusan tertentu atau mengejar jadual harian.
"Pelaku mendakwa masih sempat melepasi persimpangan sebelum lampu bertukar merah termasuk ketika berada di penghujung fasa lampu kuning.
"Beberapa saat dianggap kecil tetapi boleh menyebabkan perlanggaran pada kelajuan tinggi," katanya.
Ujar beliau, alasan popular lain termasuk kenderaan di belakang terlalu rapat sehingga bimbang jika membrek secara mengejut.
"Dalam keadaan tertentu, ada pelaku mendakwa tidak nampak lampu isyarat terutama di persimpangan kompleks, cuaca buruk atau pandangan terhalang.
"Ada juga memberi alasan kecemasan peribadi seperti membawa ahli keluarga ke hospital manakala sebahagian lain mengaku hanya mengikut kenderaan di hadapan," katanya.
Jelasnya, terdapat juga pemandu menyangka lampu masih hijau atau kuning akibat salah tafsir serta kurang memberi perhatian terhadap perubahan isyarat.
Tambahnya, penunggang dan pejalan kaki berdepan risiko lebih tinggi kerana tiada perlindungan fizikal seperti dalam kenderaan.
"Satu pelanggaran juga berpotensi mencetuskan kemalangan lain apabila kenderaan di belakang terpaksa membrek mengejut atau mengelak secara berbahaya selain menyebabkan kesesakan lalu lintas," katanya.
Tambah beliau, rekod JPJ Selangor menunjukkan sebanyak 32,471 notis saman dikeluarkan bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah bagi tempoh Januari hingga Ogos 2024.
"Jumlah ini menurun kepada 26,256 notis bagi tempoh sama pada tahun lalu sebelum merekodkan 20,441 notis untuk Januari hingga Ogos tahun ini.
"Perbandingan menunjukkan jumlah notis saman pada 2025 berkurang 6,215 atau 19.1 peratus berbanding tahun asas 2024, manakala 2026 mencatatkan pengurangan 5,815 atau 22.1 peratus," katanya.
Teknologi, operasi bersasar kesan pelaku
Jelas Ahmad Kamarunzaman, antara kaedah digunakan ialah penempatan anggota di lokasi strategik bagi merakam gambar atau video kenderaan melakukan kesalahan.
"Rakaman menunjukkan jenis kenderaan, nombor pendaftaran, keadaan lampu isyarat dan pergerakan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil," ujar beliau.
Katanya, JPJ turut menggunakan kenderaan tidak berlogo bagi membolehkan pemantauan dibuat terhadap tingkah laku sebenar pemandu tanpa dipengaruhi kehadiran anggota.
"Pendekatan ini penting supaya pematuhan bukan berlaku hanya ketika pemandu melihat anggota JPJ atau kenderaan penguat kuasa, sebaliknya menjadi amalan setiap kali berada di jalan raya.
"Teknologi turut memainkan peranan apabila Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) digunakan bagi mengesan dan merakam kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah secara automatik," katanya.
Jelasnya, sistem itu beroperasi 24 jam dan melanggar lampu merah antara sembilan kesalahan utama diberi perhatian.
"Contohnya, ketika Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 (Op HRA), kesalahan melanggar lampu isyarat menjadi kesalahan tertinggi apabila 81 daripada 115 kes direkodkan," katanya.
Menurutnya, maklumat orang awam turut membantu JPJ mengenal pasti corak dan lokasi kesalahan secara berulang.
"Menerusi e-Aduan@JPJ dalam aplikasi MyJPJ, orang awam boleh menyalurkan gambar atau video, lokasi dan maklumat berkaitan kesalahan.
"Ia membantu JPJ melaksanakan pemantauan lanjut dan operasi bersasar berdasarkan maklumat diterima," katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Kamarunzaman menegaskan aduan awam tidak bermaksud seseorang individu yang dilaporkan akan terus dianggap bersalah kerana segala maklumat akan dinilai terlebih dahulu.
"Maklumat, gambar atau video diterima perlu dinilai dari segi kesahihan, kejelasan bukti dan fakta kejadian sebelum tindakan penguatkuasaan diambil," katanya.
Ujar beliau, bagi baki tahun ini, JPJ akan memberi tumpuan terhadap penguatkuasaan lebih konsisten dan berasaskan data selain memperkukuh usaha advokasi bagi mengubah tingkah laku pengguna jalan raya.
"Pendekatan ini merangkumi operasi di lokasi panas, pemantauan secara penyamaran, penggunaan kenderaan tidak berlogo serta pemanfaatan teknologi penguatkuasaan seperti AwAS.
"Pada masa sama, aduan menerusi e-Aduan@JPJ akan terus dimanfaatkan sebagai sumber maklumat bagi mengenal pasti lokasi dan kesalahan yang memerlukan perhatian," katanya.
Tegasnya, keselamatan jalan raya bukan hanya tanggungjawab agensi penguat kuasa sahaja tetapi setiap pengguna mempunyai peranan untuk memastikan perjalanan berakhir dengan selamat.