Gaji RM3,100 perlu seiring produktiviti

Iklan
Perbezaan antara gaji kehidupan wajar dan gaji minimum juga perlu diperjelaskan. - Gambar hiasan

USUL Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya kadar RM3,100 sebulan dijadikan rujukan bagi penetapan gaji minimum baharu mencetuskan perdebatan antara pekerja dan majikan.

Bagi pekerja, cadangan itu dianggap munasabah berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya makanan, perumahan, pengangkutan dan keperluan asas. Bagi majikan pula, peningkatan daripada gaji minimum semasa RM1,700 kepada RM3,100 dilihat sebagai lonjakan besar yang boleh meningkatkan kos operasi dengan ketara.

Iklan
Iklan

Ahli Ekonomi Centre for Future Studies Berhad (THE FUTURE), Muhamad Zharif Luqman Hashim berkata, kenaikan daripada RM1,700 kepada RM3,100 bersamaan sekitar 82 peratus, sedangkan median gaji pekerja formal Malaysia pada Mac 2026 hanya sekitar RM3,027 sebulan.

Jelasnya, ini bermakna kira-kira separuh pekerja formal Malaysia menerima gaji di bawah RM3,027.

Iklan

“RM3,100 mungkin sesuai dijadikan sasaran pendapatan yang mahu dicapai pekerja Malaysia, tetapi ia tidak semestinya perlu terus diwajibkan sebagai gaji minimum dalam satu langkah,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Menurut Muhamad Zharif, perbezaan antara gaji kehidupan wajar dan gaji minimum juga perlu diperjelaskan. Gaji kehidupan wajar menggambarkan pendapatan yang diperlukan seseorang untuk menjalani kehidupan munasabah, manakala gaji minimum ialah jumlah paling rendah yang diwajibkan undang-undang untuk dibayar majikan.

Iklan

“Apatah lagi kemampuan syarikat besar di Kuala Lumpur tidak sama dengan perusahaan kecil di Kelantan, Perlis atau Sabah. Justeru, dasar gaji tidak boleh melihat Malaysia sebagai satu ekonomi yang seragam,” ujarnya.

Beliau berkata, persoalan utama bukan hanya berapa banyak yang mampu dibayar syarikat, tetapi bagaimana syarikat boleh meningkatkan kemampuan untuk membayar gaji lebih tinggi.

Katanya, banyak syarikat Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, masih bergantung kepada pasaran domestik. Justeru, syarikat perlu meneroka pasaran lebih luas termasuk ASEAN dan pasaran global.

“Tidak semua syarikat perlu menjadi pengeksport secara langsung. Ada yang boleh berkembang melalui e-dagang, menjadi pembekal kepada syarikat multinasional atau memasuki rantaian bekalan syarikat yang mempunyai pasaran antarabangsa.

“Produk dan operasi juga perlu dinaik taraf melalui pelaburan dalam teknologi, automasi, kemahiran pekerja, penjenamaan, kualiti produk dan kecekapan operasi,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, kerajaan tidak boleh hanya menaikkan gaji minimum dan menyerahkan proses penyesuaian kepada syarikat. Kerajaan perlu membantu membina ekonomi yang mampu membayar gaji tersebut melalui kenaikan gaji yang jelas dan berperingkat, selain sokongan terhadap produktiviti, teknologi, digitalisasi dan kemahiran.

“Gaji minimum juga perlu bergerak bersama gaji progresif supaya pekerja yang meningkatkan kemahiran, pengalaman dan produktiviti mempunyai laluan kenaikan pendapatan yang jelas,” katanya.

Menurutnya, kos sara hidup turut perlu ditangani kerana kenaikan gaji tidak banyak meningkatkan kesejahteraan sekiranya kos rumah, makanan, pengangkutan dan penjagaan anak meningkat pada kadar sama atau lebih tinggi.

“Malaysia tidak boleh bersaing selama-lamanya berdasarkan kos pekerja murah. Negara perlu bersaing melalui produktiviti, teknologi, kemahiran, inovasi dan kemampuan syarikat memasuki pasaran lebih besar.

“Persoalan lebih besar ialah bagaimana kita membina ekonomi di mana syarikat mampu membayar RM3,100, RM4,000 atau lebih kerana pekerja menghasilkan nilai yang lebih tinggi, syarikat mempunyai pasaran lebih besar dan ekonomi menghasilkan lebih banyak pekerjaan berkualiti,” jelasnya.