PKP, kuarantin wajib berjaya kekang kes positif Covid-19

Iklan
Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memerangi COVID-19 . (Gambar hiasan) - Foto Bernama

PUTRAJAYA – Langkah kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan langkah tepat bagi membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan sidang media yang dikendalikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah setiap petang dan taklimat yang diberikan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri jelas menunjukkan berlaku trend penurunan kes positif Covid-19.

Iklan
Iklan

"Ini jelas menunjukkan bahawa PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan merupakan satu langkah tepat. Kita percaya tindakan itu mampu memutuskan rantaian Covid-19,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Katanya, satu lagi tindakan tepat kerajaan ialah mengenakan kuarantin wajib kepada rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara.

Iklan

"Jika kita lihat di sesetengah negara rakyatnya yang pulang dari luar negara tidak melakukan kuarantin wajib mengalami kes positif Covid-19 yang mendadak.

"Kita faham ramai kurang senang, namun daripada laporan yang diterima oleh Kementerian Kesihatan mendapati terdapat 17 kes positif dalam kalangan rakyat yang pulang dari luar negara ini,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, sekiranya langkah kuarantin wajib tidak dilakukan, mereka yang pulang dari luar negara dan tidak sedar sebenarnya mereka positif Covid-19 bakal menyebarkan virus itu kepada lebih ramai.

"Cuba bayangkan mereka pulang ke rumah untuk kuarantin sendiri sahaja, keluarga mereka pasti terdedah dengan Covid-19. Jika keluarga mereka keluar ke mana-mana tempat, tentu jangkitan itu akan merebak dengan lebih banyak.

"Pasti akan ada kluster baharu. Namun, alhamdulillah dengan tindakan tepat kita dapat mengawal Covid-19 ini daripada terus merebak. Sebab itu kita perlu yakin bahawa setiap tindakan kerajaan bertujuan untuk memastikan keselamatan rakyat,” katanya.