KOTA BHARU – Seramai 100,000 peminat motosikal disasarkan menyertai Mat Moto Day Volume 2 yang bakal berlangsung di Lembah Sireh di sini pada 9 dan 10 Oktober depan.
Sasaran itu ditetapkan susulan sambutan terhadap edisi sulung tahun lalu yang merekodkan kehadiran lebih 60,000 peserta.
Penganjur Mat Moto Day, Muhamad Ariff Mustapa berkata, jumlah penyertaan pada edisi pertama menunjukkan komuniti permotoran khususnya di Kelantan mempunyai pengikut yang besar.
“Pada penganjuran pertama, kita mencapai sasaran dengan lebih 60,000 peserta hadir. Jadi pada kali kedua ini, kami percaya sasaran 100,000 peserta mampu dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan penajaan Mat Moto Day Volume 2 di sini pada Sabtu.
Menurut Muhamad Ariff, penganjuran program itu juga bertujuan menyediakan ruang lebih tersusun kepada komuniti permotoran untuk berkumpul dan berinteraksi.
“Salah satu matlamat penganjuran Mat Moto Day ini sebab saya tengok sambutan di Kelantan terlalu ramai. Kita juga nak tengok mereka ini boleh bercampur kerana kalau tiada penganjuran, ia akan jadi terabur,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti berkaitan permotoran akan diadakan sepanjang dua hari program berkenaan.
Penganjuran kali ini turut menyediakan cabutan bertuah dengan keseluruhan hadiah bernilai RM1 juta termasuk sebuah rumah bernilai RM450,000 dan sebuah kereta Mercedes-Benz.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Emas Seri Semantan Sdn Bhd (KESS), Shaaini Md Jumaat berkata, pihaknya tampil sebagai penaja utama acara berkenaan.
Menurutnya, penglibatan syarikat itu antara lain bertujuan mendekati komuniti permotoran khususnya golongan muda.
“Kita nak meraikan komuniti permotoran negara tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur, sejajar hasrat KESS memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan peminat motosikal,” katanya.