BESUT - Dua wanita ditemui meninggal dunia selepas disyaki terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah kolam ternakan ikan di Pantai Air Tawar, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian membabitkan mangsa yang berusia 27 dan 49 tahun itu kira-kira jam 1.40 tengah hari.
Menurutnya, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan kolam berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
"Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Besut bagi tujuan bedah siasat.
Mohd Rozaime berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian tersebut.