Air hijau, bau busuk bongkar pencemaran kilang sekerap plastik

Iklan
Anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan dan mengambil sampel bagi mengenal pasti kandungan bahan pencemar untuk analisis

KLANG - Sebuah kilang memproses sekerap plastik di Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini disyaki menjadi punca pencemaran air dan bau selepas pihak berkuasa mengesan cecair berwarna hijau yang dipercayai digunakan untuk mencuci sekerap plastik di premis berkenaan.

Operasi bersepadu membabitkan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor itu dijalankan susulan aduan orang awam berhubung pencemaran air dan bau di parit awam di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

MBDK dalam kenyataannya memaklumkan, hasil pemeriksaan termasuk pemantauan menggunakan dron oleh JAS Selangor mendapati aktiviti pencucian sekerap plastik di premis itu dipercayai menyumbang kepada pencemaran.

Kenyataan itu memaklumkan, Jabatan Pelesenan MBDK mengeluarkan notis niat pembatalan lesen selain empat kompaun terhadap premis berkenaan.

Iklan

"JAS Selangor pula menahan operasi mesin mencuci sekerap plastik dan mengambil sampel untuk tindakan lanjut," tambah kenyataan itu.

Dalam operasi sama, MBDK memaklumkan sebanyak tujuh premis berhampiran saliran turut diperiksa dan enam daripadanya didapati tidak mempunyai lesen industri bagi tahun 2026.

Iklan

"Jabatan Pelesenan kemudian mengeluarkan 12 kompaun dan satu notis, manakala Jabatan Penguatkuasa mengeluarkan dua kompaun serta Jabatan Kesihatan mengeluarkan satu kompaun.

"Sementara itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) turut menjalankan pemeriksaan dan mengambil sampel bagi mengenal pasti kandungan bahan pencemar untuk analisis lanjut oleh Jabatan Kimia Malaysia," jelas kenyataan itu.

MBDK memaklumkan kerjasama strategik bersama agensi berkaitan akan terus diperkukuh, selain pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dipergiat bagi memastikan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan komuniti terus terpelihara.

Kapsyen foto: Anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan dan mengambil sampel bagi mengenal pasti kandungan bahan pencemar untuk analisis lanjut.