KUALA LUMPUR – Puteri UMNO Malaysia menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap laporan berkaitan dakwaan penggunaan kecerdasan buatan (AI), data pengundi dan akaun media sosial palsu bagi mempengaruhi pandangan rakyat.
Ketua Penerangannya, Nooryana Najwa Mohd Najib, berkata sebarang dakwaan berkaitan operasi manipulasi pilihan raya perlu disiasat terlebih dahulu sebelum kesimpulan dibuat.
Menurutnya, rakyat berhak mengetahui perkara sebenar berhubung dakwaan yang dibangkitkan termasuk sumber data, penggunaan akaun palsu, kandungan dihasilkan AI serta pihak bertanggungjawab.
"Penggunaan data dan segmentasi pengundi bukan perkara baharu dalam politik.
"Parti politik sememangnya memahami isu dan keutamaan kelompok pengundi bagi menyampaikan dasar yang relevan.
"Namun, garis etika dilanggar apabila identiti palsu diwujudkan, sokongan awam direka atau fakta sengaja diputarbelitkan untuk mempengaruhi pengundi," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Kenyataan Nooryana merujuk laporan terbaharu syarikat AI dari Amerika Syarikat, Anthropic berkaitan dakwaan kewujudan operasi manipulasi pilihan raya secara komersial yang menyasarkan pengguna di Malaysia.
Bagaimanapun, MCMC pada 11 September lalu memaklumkan pihaknya memandang serius laporan berkenaan dan sedang meneliti perkara yang dibangkitkan.
MCMC turut menjelaskan perkara yang dinyatakan dalam laporan itu bukan sebahagian daripada fungsi atau mandatnya.
Selain itu, suruhanjaya itu menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan seperti yang digambarkan dalam laporan berkenaan.
Menurut MCMC, pihaknya sedang mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan bagi memastikan fakta sebenar dan memahami konteks isu terbabit.
Dalam pada itu, Nooryana berpandangan persoalan berkaitan privasi data perlu diberikan perhatian serius.
Menurutnya, ia termasuk sumber data pengundi, pihak yang mengaksesnya dan sama ada persetujuan diberikan bagi tujuan pemprofilan politik.
"Data rakyat tidak boleh digunakan tanpa ketelusan dan akauntabiliti," katanya.
Nooryana turut mengingatkan supaya penggunaan AI tidak dijadikan ancaman kepada proses demokrasi, sebaliknya tertakluk kepada prinsip etika, privasi, ketelusan dan akauntabiliti.
"Perkara itu lebih membimbangkan sekiranya membabitkan pengundi muda dan kali pertama.
"Puteri UMNO berpegang kepada prinsip menang pilihan raya mesti melalui kepercayaan rakyat, bukan manipulasi rakyat.
"Setiap pengundi mesti membuat pilihan berdasarkan realiti yang sebenar," ujarnya.