Pemuda Pas gesa siasat dakwaan manipulasi AI data pengundi

Iklan
Khairul Nadzir

SHAH ALAM- Pemuda Pas menggesa satu siasatan dan pelaporan awam menyeluruh dijalankan terhadap dakwaan wujudnya operasi pengaruh pengunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memanipulasi data pengundi dan naratif politik dalam negara.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, pendedahan oleh badan penyelidikan AI, Anthropic itu amat serius kerana membabitkan penggunaan data banci dan pilihan raya termasuk rekod pengundi pada skala besar.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, operasi berkenaan turut didakwa melibatkan penciptaan ribuan akaun media sosial palsu melalui platform X bagi mempengaruhi persepsi masyarakat.

"Perkara yang paling membimbangkan adalah mengenai dakwaan eksploitasi teknologi AI dengan memanipulasi isu-isu sensitif termasuk isu kaum, agama dan institusi diraja yang diklasifikasi sebagai isu 3R mengikut profil data pengundi di seluruh 222 kawasan Parlimen.

Iklan

"Pendekatan sedemikian cenderung menimbulkan persoalan terhadap sejauhmana data-data pengundi dan pilihan raya telah terdedah ke luar bahkan mengikis kepercayaan rakyat terhadap maklumat yang diterima melalui media sosial," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Khairul Nadzir berkata, manipulasi menggunakan AI juga boleh mewujudkan persepsi palsu seolah-olah sesuatu pandangan atau naratif tertentu mendapat sokongan rakyat secara meluas.

Iklan

"Sedangkan segalanya hanyalah sekadar khayalan yang dicipta melalui platform AI tersebut.

"Tambahan lagi kewujudan kandungan yang mengandungi tuduhan terhadap individu tertentu menggunakan alasan palsu," katanya lagi.

Kata beliau, penyebaran maklumat palsu melalui rangkaian akaun yang turut didakwa palsu berpotensi menjadi fitnah besar, selain menjejaskan reputasi individu dan mengelirukan orang awam.

Pada masa sama, beliau melahirkan kesal terhadap penafian penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Usah sekadar menafikan tetapi meninggalkan seribu satu persoalan kepada rakyat mengenai dakwaan-dakwaan serius yang dibangkitkan.

"Jika bukan pihak kerajaan terlibat secara langsung dengan dakwaan yang dikemukakan, maka wajar disiasat pihak mana yang menjadi penerajunya," katanya lagi.

Khairul Nadzir berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana pihak yang didakwa terbabit bukan sahaja memanipulasi naratif politik, malah data pilihan raya dan pengundi dalam negara.

"Apakah begitu mudah data negara dimanipulasi melalui platform AI untuk kepentingan pihak tertentu? SKMM jangan sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya.