SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggambarkan UMNO yang mencabar kerajaan untuk mengeluarkan Barisan Nasional (BN) daripada Kabinet seperti pasangan yang lantang meminta untuk bercerai.
Naib Ketua AMK, Nabil Halimi berkata, UMNO dilihat seperti mahu meninggalkan kerajaan, namun pada masa sama masih mahu mengekalkan kedudukannya dalam pentadbiran.
"UMNO ini macam pasangan yang mulut cabar 'ceraikan aku kalau berani', tapi beg tak berkemas, barang tak berangkat, malam masih tarik selimut sebelah.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar Kerajaan Perpaduan supaya mengeluarkan BN secara rasmi daripada kerajaan jika benar parti itu tidak lagi diperlukan dalam pentadbiran negara.
Ahmad Zahid berkata, tindakan tersebut perlu dibuat secara terbuka dan mengikut proses demokrasi, termasuk mengadakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya kerajaan benar-benar berani mengambil langkah berkenaan.
Menurut Nabil, tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dilihat lebih tegas apabila memilih untuk berada di blok pembangkang selepas tidak lagi selesa dengan kerajaan.
"Rasanya Syed Saddiq dan Muda lebih anak jantan, tidak selesa dengan kerajaan terus pindah kerusi Pembangkang," katanya lagi.