SUNGAI PETANI - Satu pertemuan antara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama pemimpin UMNO negeri itu sedang diatur dalam masa terdekat.
Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengesahkan, perkara tersebut telah dimaklumkan kepadanya dan sedang diatur Pejabat Menteri Besar Kedah.
"Saya pun dah dapat persetujuan daripada Pas Kedah untuk mengadakan pertemuan awal dengan bekas MB dari UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Saya dimaklumkan dia nak datang dengan Datuk Seri Ahmad Bashah.
"Kita pun minta pejabat atur masa yang sesuai. Saya kena minta kebenaran Pas Kedah dulu. Saya bukan ketua parti di Kedah, saya second man. Saya ada ketua saya. Pas Kedah pun dah bersetuju diadakan pertemuan awal tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Sepak Raga Tuju Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah Tahun 2026 di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, UMNO Kedah menyatakan hasrat mengadakan pertemuan dengan menteri besar itu bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara dua parti itu di negeri berkenaan.
Mahdzir yang juga Pengerusi UMNO Kedah berkata pertemuan itu akan diatur selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Bagaimanapun, jelas Muhammad Sanusi, pertemuan awal itu bertujuan mendapatkan gambaran mengenai kehendak UMNO sebelum sebarang rundingan lanjut dibuat.
"Mungkin nak tanya pasal kerusi lah kot, kan? Saya difaham kerusi ni status quo, kalau UMNO BN tak ada kerusi lagi, tengok boleh explore lah kerusi mana nak bertanding, saya tak pastilah, mungkin tu... saya sebut dulu," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat menjelaskan rundingan berkaitan kerusi tidak boleh hanya mengambil kira keadaan di sesebuah negeri kerana keputusan akhirnya perlu melihat kedudukan di seluruh negara.
"Di peringkat negeri Melaka, rundingan tidak boleh dibuat peringkat negeri Melaka sahaja, rundingan mesti ambil kira seluruh negara," katanya.
Menurutnya, perkara itu penting bagi membolehkan sebarang pelarasan dibuat antara negeri berdasarkan hasil rundingan di peringkat pusat.
"Kalau bincang dalam negeri tu saja susah nak kesok. Macam di Kedah, Kelantan, Terengganu ni susah nak kesok. Jadi kena ambil kira negeri-negeri lain juga.
"Apa-apa jua pusat akan buat keputusan, akan turunkan keputusan tu di negeri-negeri. Saya akan patuh keputusan tu lah. Setakat ni peringkat awal, jumpa dulu lah. Kita tengok apa yang nak disembang. Saya tak ada gambaran lagi pun. Itu je lah," jelasnya.