SHAH ALAM – Akses kepada pembiayaan mencukupi penting bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan peningkatan kos operasi, ketidaktentuan global serta tekanan terhadap margin keuntungan.
Presiden Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Seri Dr Abdul Malik Abdullah berkata, kemudahan pembiayaan yang disediakan kerajaan melalui kementerian pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) amat diperlukan bagi membolehkan perniagaan bertahan dalam persekitaran operasi yang mencabar.
Menurutnya, akses kepada pembiayaan bukan sahaja penting bagi perniagaan yang berdepan kesukaran sementara, malah diperlukan oleh syarikat yang mempunyai peluang untuk berkembang,
“Kami menghargai kesungguhan Steven Sim dan KUSKOP untuk memastikan dana yang mencukupi tersedua bagi membantu perniagaan di Malaysia.
“Akses kepada pembiayaan kekal antara bentuk sokongan paling penting untuk PKS, sama ada ketika berdepan kesukaran sementara atau ketika ingin mengembangkan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Baru-baru ini, media melaporkan, kerajaan meningkatkan peruntukan pembiayaan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada RM50 bilion kepada RM60 bilion tahun ini khususnya untuk keperluan modal kerja, pengembangan perniagaan dan pembangunan usahawan.
kerajaan akan terus memperkukuh sokongan kepada PMKS bagi membantu sektor itu menghadapi ketidaktentuan geopolitik global, termasuk perang perdagangan dan gangguan rantaian bekalan, di samping memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan lebih banyak syarikat tempatan ke tahap yang lebih besar.
Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata, FMBA turut mencadangkan bantuan moratorium bersasar kepada perniagaan yang berdepan masalah kewangan sementara.
Menurut Abdul Malik, kemudahan berkenaan sudah ditawarkan oleh sesetengah bank berdasarkan kes demi kes susulan penglibatan KUSKOP dengan industri perbankan.
“FMBA bagaimanapun berharap sokongan ini dapat diperluaskan kepada perniagaan yang benar-benar memerlukannya. FMBA percaya penglibatan berterusan antara kerajaan, institusi kewangan dan industri amat penting,” katanya.