KUALA LUMPUR – UMNO mencabar Kerajaan Perpaduan supaya mengeluarkan Barisan Nasional (BN) secara rasmi daripada kerajaan jika benar parti itu tidak lagi diperlukan dalam pentadbiran negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tersebut perlu dibuat secara terbuka dan mengikut proses demokrasi, termasuk mengadakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya kerajaan benar-benar berani mengambil langkah berkenaan.
Menurutnya, asas pembentukan Kerajaan Perpaduan sebelum ini adalah berdasarkan gabungan 112 kerusi Parlimen, dengan Pakatan Harapan (PH) ketika itu memiliki 82 kerusi manakala BN mempunyai 30 kerusi.
"Walaupun jumlah kerusi bersama Kerajaan Perpaduan sekarang melebihi majoriti mudah, tetapi ia adalah tambahan kepada asas yang ada kerana parti yang menyertai sekarang ini pelbagai, iaitu 18 parti.
"Jangan lupa, daripada 112 yang mereka ada asalnya, tiga sudah keluar daripada PKR iaitu (Datuk Seri) Rafizi (Pandan), Nik Nazmi (Setiawangsa) dan Wong Chen (Subang)," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, sekiranya UMNO-BN diminta keluar daripada Kerajaan Perpaduan, asas 112 kerusi yang menjadi sandaran pembentukan kerajaan sebelum ini juga tidak lagi boleh dianggap wujud.
Sehubungan itu beliau mengulangi desakan agar mandat baharu daripada rakyat wajar diperoleh sekiranya berlaku perubahan terhadap komposisi kerajaan.
"Kalau kita diminta keluar, logiknya asas 112 kerusi pun sudah tiada. Jadi wajarnya mandat baharu mesti diperoleh.
"Pilihan cuma ada dua. Satu, dapatkan semula mandat baharu dengan mengadakan pilihan raya umum. Kedua, keluarkan kami secara rasmi dan buat undi tidak percaya di Dewan Rakyat," ujarnya.