Pelajar Tingkatan 1 cedera kaki kiri digigit anjing liar

Iklan
Kesan gigitan anjing liar pada kaki kiri mangsa.

MELAKA – Seorang pelajar Tingkatan Satu cedera pada kaki kiri selepas digigit seekor anjing liar ketika dalam perjalanan ke sekolah di Krubong pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Anas Fakhry Mohamad Azdly Shah, 13, dikatakan sedang berbasikal bersama abangnya dari Taman Krubong Perdana apabila mereka dikejar sekumpulan enam hingga tujuh ekor anjing liar.

Iklan
Iklan

Bapa mangsa, Mohamad Azdly Shah Jamaludin, 46, berkata, anaknya pada mulanya tidak menyedari kehadiran kumpulan anjing tersebut kerana sedang menuruni bukit.

Menurutnya, sebaik tiba di laluan mendaki, kedua-dua beradik itu melihat haiwan berkenaan mula mengejar dan menyalak ke arah mereka.

Iklan

“Selama ini anjing-anjing itu hanya mengejar dan tidak pernah menggigit. Namun kali ini seekor daripadanya semakin hampir sebelum menggigit kaki kiri anak saya ketika dia sedang mengayuh basikal.

“Selepas melepaskan gigitan, anjing itu turut mengejar abangnya yang melalui laluan sama, namun dia sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, kejadian itu menimbulkan kebimbangan kerana kumpulan anjing liar terbabit telah lama berkeliaran di sekitar Taman Krubong Perdana dan laluan tersebut sering digunakan pelajar sebagai jalan pintas ke sekolah.

“Ramai pelajar sebelum ini pernah dikejar anjing di kawasan ini. Kami bimbang jika berlaku kejadian yang lebih serius, terutama melibatkan kanak-kanak.

“Doktor memaklumkan luka anak saya tidak terlalu dalam kerana hanya terkena taring bahagian atas. Jika terkena taring bawah, kecederaannya mungkin lebih teruk,” katanya.

Mohamad Azdly berkata, pihak berkuasa tempatan sebelum ini telah mengambil beberapa langkah bagi menangani masalah anjing liar di kawasan berkenaan.

Menurutnya, isu tersebut turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha menangkap anjing terbabit berdepan cabaran kerana haiwan berkenaan sering tidak kelihatan ketika operasi dijalankan.

“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, cuma berharap perkara ini diberi perhatian serius sebelum berlaku kejadian yang lebih buruk,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya telah menangkap enam ekor anjing liar di sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong Dua selepas menerima aduan pertama pada Mei lalu.

Menurut beliau, pemeriksaan yang dijalankan pada 14 Mei mendapati tiada anjing berkeliaran di kawasan berkenaan sebelum perangkap dipasang dari 18 hingga 30 Mei.

“Dalam tempoh itu, sebanyak enam ekor anjing berjaya ditangkap.

“Bagaimanapun, operasi menjadi lebih sukar apabila perangkap yang dipasang beberapa kali dibuka atau anjing yang telah terperangkap dilepaskan oleh orang awam,” katanya.

Shadan berkata, MBMB memandang serius setiap aduan berkaitan anjing liar, khususnya di kawasan yang sering digunakan murid dan pelajar untuk ke sekolah.

“Pemantauan akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk dan pengguna laluan tersebut sentiasa terjamin,” katanya.