PEKAN - Kampung Nenasi dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nenasi di sini dipilih sebagai Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Pemilihan tersebut mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dengan pelbagai inisiatif dirancang di kampung berkenaan melalui peruntukan keseluruhan RM700,000.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan itu disalurkan dengan RM500,000 untuk menaik taraf kemudahan di Kampung Nenasi dan RM100,000 untuk pelaksanaan program melalui kerjasama TVET bersama Kolej Komuniti Rompin.
Menurutnya, di bawah Program Sekolah Angkat Madani, RM100,000 diperuntukkan kepada SK Nenasi bagi pelaksanaan program dan penambahbaikan kemudahan sekolah.
"Antara inisiatif yang dirancang melalui program itu termasuk menaik taraf masjid dan balai raya Kampung Nenasi Darat, baik pulih gelanggang futsal, menaik taraf pejabat pentadbiran Badan Khairat Kematian Orang-Orang Islam Mukim Bebar, menyediakan kemudahan khemah komuniti dan memasang lampu jalan solar.
"Daripada senarai projek-projek kecil yang disebut itu, statusnya hampir semua siap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani JIM 2026 di SK Nenasi di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban.
Sementara itu, JIM melalui kenyataannya berkata, menerusi pelaksanaan kedua-dua program itu, JIM bukan sahaja melaksanakan fungsi teras berkaitan imigresen, malah turut menyumbang kepada agenda pembangunan masyarakat melalui pendekatan perkhidmatan awam yang lebih dekat dengan rakyat.
"Program ini juga menekankan aspek kesinambungan dan pemantauan bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberikan manfaat yang nyata kepada masyarakat Kampung Nenasi serta warga sekolah.
"Kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, pentadbiran tempatan dan komuniti diharapkan dapat menjadikan Kampung Nenasi sebagai contoh pelaksanaan pembangunan yang memberi perhatian secara seimbang kepada aspek infrastruktur, pendidikan, sosial dan kesejahteraan masyarakat," ujarnya.