KUALA LUMPUR - Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan wujud layanan berbeza atau dwistandard dalam pelepasan Datuk Peter Anthony melalui Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).
Menurut Jabatan Penjara Malaysia, pertimbangan untuk mengikuti PBSL dibuat selepas bekas Menteri Infrastruktur Sabah itu mencapai tempoh kelayakan ditetapkan serta melalui proses tapisan dan penilaian sebagaimana dikenakan terhadap prospek lain.
“Pelepasan beliau melalui PBSL tidak bermaksud baki hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah diketepikan.
“Sebaliknya, beliau terus menjalani baki tempoh hukuman dalam komuniti dan kekal tertakluk kepada syarat, peraturan serta pemantauan yang ditetapkan sepanjang tempoh berkenaan,” menurut kenyataan pada Sabtu.
Pada tahun lalu, Peter dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas disabitkan kesalahan memalsukan dokumen sokongan untuk kontrak di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Beliau mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu, namun Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan berkenaan termasuk denda RM50,000.
Jabatan Penjara Malaysia menjelaskan, PBSL merupakan salah satu mekanisme Pemulihan Dalam Komuniti yang dilaksanakan secara berstruktur bagi prospek yang memenuhi syarat dan kriteria kelayakan ditetapkan.
Menurutnya, PBSL bukan penghapusan, pemendekan atau pengurangan hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah.
Untuk dipertimbangkan mengikuti PBSL, seseorang prospek perlu terlebih dahulu memenuhi syarat kelayakan termasuk telah menjalani sekurang-kurangnya satu pertiga daripada tempoh hukuman.
Bagaimanapun, pemenuhan tempoh berkenaan tidak memberikan kelayakan secara automatik untuk seseorang prospek diberikan PBSL.
Jabatan Penjara Malaysia berkata, setiap prospek perlu melalui proses saringan dan penilaian yang mengambil kira antaranya sahsiah dan tingkah laku sepanjang menjalani hukuman, tahap kepulihan serta penyertaan dalam Program Pembangunan Insan.
"Selain itu, kesediaan kembali ke komuniti, sokongan keluarga, kesesuaian penempatan, peluang pekerjaan serta keperluan pemantauan selepas pelepasan turut dinilai," katanya.
Katanya, penilaian dan pertimbangan PBSL di peringkat Ibu Pejabat Penjara Malaysia dibuat melalui Jawatankuasa PBSL yang dipengerusikan oleh Komisioner Jeneral Penjara serta dianggotai pegawai kanan dan wakil agensi berkaitan.
“Mekanisme ini memastikan setiap pertimbangan dibuat berdasarkan kelayakan dan hasil penilaian terhadap prospek, selaras dengan proses yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Penjara Malaysia menegaskan PBSL dilaksanakan kepada prospek yang layak tanpa mengira latar belakang, kedudukan, status atau pengaruh seseorang.
“Status individu bukan kriteria yang memberikan kelebihan atau pengecualian daripada proses kelayakan dan penilaian yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan PBSL berteraskan prinsip Pemulihan Dalam Komuniti yang mengimbangi kepentingan keselamatan awam, pemulihan individu, pengawasan serta persediaan untuk reintegrasi ke dalam keluarga dan masyarakat.
Katanya, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada proses pemulihan dalam sistem koreksional dan tidak mengubah atau mengetepikan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah.
“Sehubungan itu, dakwaan bahawa pelepasan melalui PBSL diberikan atas layanan berbeza atau dwistandard adalah tidak tepat.
“Setiap pertimbangan dibuat berdasarkan kelayakan, penilaian dan proses yang ditetapkan, manakala prospek yang diberikan PBSL kekal tertakluk kepada pengawasan sehingga selesai menjalani baki tempoh hukumannya,” katanya.