[VIDEO] Tiga kereta rosak teruk dihempap tembok konkrit pagar

Iklan

SEREMBAN - Tiga kenderaan mengalami kerosakan teruk selepas dihempap runtuhan tembok konkrit pagar sebuah rumah di Taman Jayamas di sini pada Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu melibatkan kereta jenis Toyota Vios, Perodua Viva dan Proton Persona.

Iklan
Iklan

Pemilik rumah, V Tiagarajan, 43, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur, namun terjaga apabila terdengar bunyi guruh agak kuat yang kemudiannya disusuli bunyi runtuhan.

"Walaupun ia tidak melibatkan harta benda keluarga saya, tetapi apabila melihat kenderaan jiran mengalami kerosakan, saya turut berasa susah hati," katanya ketika ditemui di lokasi pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, tembok pagar tersebut masih dalam proses pembinaan dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Tiagarajan

Iklan

Ujarnya, dia sudah memaklumkan kejadian itu kepada pihak kontraktor dan laporan polis juga telah dibuat.

"Nasib baik kejadian ini tidak melibatkan nyawa. Apabila melihat kesan runtuhan ini, ia agak menakutkan.

"Saya juga tidak boleh menyalahkan kontraktor kerana struktur tanah yang runtuh," katanya.

May Lim

Sementara itu, pemilik kenderaan, May Lim, 58, berkata, dia terjaga daripada tidur apabila terdengar alat penggera kereta anaknya berbunyi.

"Bunyi alat penggera kereta itu tidak berhenti-henti walaupun anak saya sudah cuba mematikannya.

"Apabila kami melihat di luar rumah, tembok pagar batu rumah jiran telah runtuh dan menghempap kereta Toyota Vios milik anak saya serta Perodua Viva yang diparkir di luar rumah," katanya.

Menurutnya, dia pasrah dengan kejadian yang berlaku, malah jirannya juga bersedia untuk bertanggungjawab.

Katanya, sesiapa pun tidak mahu kejadian seperti ini berlaku, namun dia bersyukur kerana tiada nyawa yang terlibat.

"Kebiasaannya, anak saya akan memarkir kereta Toyota Vios miliknya di ruang parkir rumah. Tetapi kali ini dia meletakkannya di luar dan tidak sangka kejadian buruk ini berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri( ADUN) Lobak, Chew Seh Yong turut berada di lokasi melihat kejadian berlaku.

Keadaan tiga kereta yang dihempap tembok konkrit pagar di Seremban pada Sabtu.