KUALA LUMPUR - UMNO Kedah mencadangkan kira-kira 40,000 pesawah dan petani yang terkesan akibat kelewatan bekalan Baja 3 menuntut ganti rugi daripada kerajaan.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tuntutan itu wajar dipertimbangkan susulan dakwaan kelewatan bekalan baja memberi kesan kepada golongan pesawah dan petani di negeri berkenaan.
Menurutnya, nasib kira-kira 40,000 pesawah tidak boleh dipandang ringan kerana mereka bergantung kepada hasil pertanian sebagai sumber pendapatan.
“UMNO mencadangkan 40,000 pesawah yang terkesan ini tuntut ganti oleh kerajaan,” katanya ketika ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.
Pada 13 Ogos lalu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob dilapor memaklumkan, kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan Mada masih belum menerima baja tiga (tambahan), sekali gus dikhuatiri menjejaskan hasil padi musim ini.
Beliau berkata, kelewatan baja itu membimbangkan kerana input berkenaan diperlukan ketika tanaman padi memasuki peringkat reproduktif antara usia 40 hingga 60 hari bagi membantu pembentukan tangkai dan pengisian buah.
Justeru, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, baki bekalan baja kepada pesawah di kawasan itu akan mula dihantar bermula 3 September dengan keseluruhan proses penghantaran disasarkan selesai dalam tempoh 10 hari.
Shaiful Hazizy berkata, masalah bekalan input pertanian perlu diberi perhatian serius kerana kelewatan baja boleh menjejaskan proses penanaman dan hasil bakal diperoleh pesawah.
“Macam mana nak bercucuk tanam sawah padi kalau baja pun lambat sampai kepada pesawah dan juga petani,” katanya.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy mempersoalkan suara beberapa individu dari parti kerajaan dalam memperjuangkan nasib 40,000 pesawah dan petani yang didakwa terkesan berikutan isu berkenaan.
“Hari ini nak tanya, apabila 40,000 pesawah (terkesan), mana suara mereka? Mana perjuangan mereka?" soalnya lagi.